PUTRAJAYA, 27 Mac (Bernama) -- Majikan diseru melaksanakan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) bagi memperkukuh daya tahan organisasi, mengurangkan impak krisis tenaga dan memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara dalam persekitaran global yang mencabar.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi kenyataan hari ini menggalakkan majikan sektor swasta untuk menilai kesesuaian pelaksanaan AKF di organisasi masing-masing berdasarkan keperluan operasi, termasuk melalui pendekatan bekerja dari rumah (BDR), waktu kerja anjal, penggiliran kerja atau model hibrid.
“Dalam keadaan peningkatan kos tenaga akibat konflik di rantau Asia Barat dan kebergantungan pada pergerakan harian pekerja, KESUMA berpandangan bahawa pelaksanaan AKF memberikan manfaat menyeluruh kepada majikan dan pekerja.
“Langkah ini termasuk mengoptimumkan penggunaan sumber serta menyokong kesejahteraan pekerja melalui keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa sektor swasta untuk melaksanakan BDR seperti yang dijalankan oleh beberapa syarikat dan bank selama ini.
Selaras dengan langkah ini, KESUMA memaklumkan majikan diseru untuk mempertimbangkan pelaksanaan AKF yang diperkenalkan di bawah pindaan Akta Kerja 1955 [Akta 265] yang telah berkuat kuasa pada 1 Jan 2023.
Di bawah peruntukan Seksyen 60P dan 60Q Akta 265, pekerja boleh memohon pengaturan kerja fleksibel kepada majikan, sekali gus memperkukuh amalan kerja moden yang lebih responsif terhadap keperluan semasa.
“Peruntukan baharu ini membolehkan pekerja membuat permohonan kepada majikan untuk bekerja secara fleksibel sama ada dari segi waktu bekerja, hari bekerja atau tempat bekerja (BDR),” menurut kenyataan itu.
Bagi menjamin kebajikan pekerja, KESUMA memaklumkan majikan yang telah melaksanakan AKF tidak boleh mengurangkan faedah-faedah yang telah diperuntukkan di bawah akta ini.
Ia merangkumi bayaran kerja lebih masa, bayaran kerja pada hari rehat, bayaran kerja pada cuti am, pemberian cuti rehat, cuti tahunan, hari kelepasan am dan cuti sakit.
Bagi menyokong pelaksanaan ini, KESUMA melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menyediakan pelbagai sokongan kepada majikan termasuk khidmat nasihat pembangunan dasar AKF, latihan serta perkongsian amalan terbaik bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan tersusun.
Bagi memudahkan majikan melaksanakan AKF, JTKSM telah menerbitkan Garis Panduan Pelaksanaan AKF pada 2024 yang boleh dimuat turun menerusi pautan https://www.mohr.gov.my/images pdfGaris%20Panduan%20AKF%202024.pdf.
Majikan juga boleh mendapat maklumat lanjut serta menyertai inisiatif berkaitan AKF dengan menghubungi TalentCorp melalui e-mel, flexworklife@talentcorp.com.my atau melayari www.flexworklife.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial