KOTA TINGGI, 27 Mac (Bernama) -- Helikopter MI-17 milik Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memulakan atur gerak operasi pengeboman air untuk memadam kawasan kebakaran di Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove, di sini.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor hari ini, inisiatif itu akan dilaksanakan setelah kaedah sama selesai dilakukan bagi operasi pemadaman kebakaran berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pengerang.
JBPM memaklumkan operasi pemadaman masih diteruskan di seksyen G secara “direct attack” atau semburan terus dan “total flooding” atau membanjirkan kawasan kebakaran sepenuhnya menggunakan jentera bomba manakala “fire break” turut dibuat bagi mengelak api daripada merebak.
“Usaha pemadaman turut menggunakan sumber air daripada kolam YPJ. Sebanyak 90 peratus atau 135 hektar daripada 150 hektar kawasan yang terlibat dalam kebakaran di Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove berjaya dipadamkan setakat 9 pagi tadi,” menurut kenyataan itu.
Bagi kebakaran berhampiran PPR Pengerang, sebanyak 55 peratus atau 5.5 hektar daripada keseluruhan 10 hektar kawasan berjaya dipadamkan menggunakan kaedah “direct attack” dan “total flooding” di seksyen E, F dan C, menggunakan sumber air pili bomba berhampiran.
Bagaimanapun, kebakaran telah merebak semula ke seksyen C disebabkan faktor angin kuat, justeru, helikopter sama akan melakukan operasi pengeboman air di 'seksyen E dan G'.
“Jentera pula akan terus melakukan 'fire break' di seksyen F dan G bagi memadamkan baki lagi 4.5 hektar," menurut kenyataan itu.
Kebakaran di kira-kira 150 hektar kawasan di Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove bermula sejak 21 Mac lepas manakala di PPR Pengerang sejak 24 Mac dengan kawasan terlibat seluas 10 hektar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial