WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PULAU PINANG TELITI BDR, TUNGGU ARAHAN KERAJAAN PERSEKUTUAN - CHOW

27/03/2026 06:32 PM

GEORGE TOWN, 27 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang meneliti pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam susulan cabaran kenaikan harga bahan api, khususnya diesel berikutan krisis di Asia Barat.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata bagaimanapun kerajaan negeri akan terlebih dahulu menunggu arahan lanjut daripada kerajaan Persekutuan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Pendekatan BDR bukan sesuatu yang baharu kerana ia pernah dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 tetapi kita tunggu arahan kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gen Ai Chatbot Majlis Bandaraya Pulau Pinang (CHATMBPP), di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan BDR ialah langkah bagi mengurangkan beban kos operasi dan pergerakan harian susulan peningkatan harga petrol dan diesel semasa.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang memperincikan pelaksanaan peraturan kerja lebih anjal bagi penjawat awam yang BDR bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan minyak dunia berikutan krisis di Asia Barat.

Sementara itu, Chow berkata kenaikan harga diesel semasa turut memberikan kesan tidak langsung sektor kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang seperti perkhidmatan pengurusan sisa pepejal yang bergantung sepenuhnya kepada penggunaan diesel.

Beliau menjelaskan trak pengangkut sampah yang beroperasi setiap hari memerlukan diesel bagi memastikan kutipan sisa berjalan lancar mengikut jadual.

“Ada yang tidak boleh menggunakan diesel subsidi dan perlu menggunakan diesel industri, maka dengan lonjakan harga ia akan menjejaskan kontraktor kami dari segi kos,” katanya.

Beliau berkata situasi tersebut berbeza dengan sektor lain yang boleh mengurangkan operasi bagi menampung kos seperti pengendali feri di Pulau Langkawi yang dilaporkan mengurangkan kekerapan perjalanan susulan kenaikan harga diesel.

“Sampah perlu diangkat setiap hari mengikut jadual tetapi ini akan membabitkan kos yang mungkin perlu ditanggung oleh PBT sebab memang ada klausa dan direktif bahawa kontraktor boleh tuntut peningkatan harga daripada pihak yang memberikan kontrak seperti PBT,” katanya.

Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini memaklumkan harga runcit petrol RON97 dinaikkan sebanyak 60 sen kepada RM5.15 seliter bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April ini susulan peningkatan harga minyak global, manakala harga runcit diesel di Semenanjung pula naik sebanyak 80 sen kepada RM5.52 seliter.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan