Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 28 Mac (Bernama) -- Menjangkau setahun selepas gempa bumi besar melanda Myanmar, sebuah organisasi antarabangsa mengingatkan bahawa masih banyak kanak-kanak bergelut dengan trauma bencana dan memerlukan sokongan kemanusiaan.
Gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter melanda bahagian tengah Myanmar, dengan pusat gempa terletak berhampiran bandar Mandalay dan Sagaing pada 28 Mac tahun lepas.
Kira-kira 3,800 orang terkorban dalam kejadian itu.
Menurut Save the Children dalam kenyataan, sebahagian kanak-kanak kehilangan orang tersayang manakala yang lain masih menanggung trauma selepas melalui bencana yang mengerikan itu.
Pengarah Serantau Asia organisasi itu, Arshad Malik, menggesa masyarakat antarabangsa supaya tidak mengabaikan kanak-kanak di Myanmar kerana krisis global yang lain, yang bersaing untuk ‘perhatian’ dan bantuan sumber.
"Gempa bumi Myanmar mungkin berakhir dalam beberapa saat sahaja tetapi kesan bencana seperti itu berlanjutan lama selepas tragedi melanda.
“Kanak-kanak di Myanmar masih berdepan ketakutan, kesedihan dan kehilangan," kata Arshad.
Save the Children dan rakan kongsinya mengedarkan makanan, minuman dan kit kecemasan, barangan kebersihan diri, kain terpal dan tali untuk tempat perlindungan sementara selepas gempa bumi.
Setahun kemudian, ia telah membantu lebih 275,000 orang termasuk kira-kira 80,000 kanak-kanak, menurut organisasi itu.
Negara Asia Tenggara tersebut terdedah pada bencana alam seperti taufan, gempa bumi, banjir dan tanah runtuh, yang boleh memberi kesan buruk kepada penduduk dan ekonominya.
Gempa bumi berkenaan memusnahkan ladang, harta benda, talian elektrik dan jambatan, menyebabkan penderitaan yang amat besar bagi rakyat, kebanyakannya bergantung pada sektor pertanian.
Lebih 55 juta orang di Myanmar, sebuah negara yang kaya dengan sumber, terus menghadapi bencana cuaca berulang setiap tahun yang menjejaskan kehidupan mereka.
Selain itu, rampasan kuasa tentera pada 2021 memburukkan lagi tekanan ekonomi mereka, selepas Myanmar sekali berdepan pengasingan daripada masyarakat antarabangsa.
Krisis ekonomi juga semakin meruncing berikutan konflik berterusan antara tentera dan pelbagai kumpulan etnik bersenjata di beberapa bahagian di negara itu.
Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sekurang-kurangnya tiga juta orang kehilangan tempat tinggal akibat konflik berpanjangan, rampasan kuasa dan bencana alam setakat 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial