GEORGE TOWN, 28 Mac (Bernama) --Tiga daripada lapan lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian sekumpulan suspek dipercayai menyerang anggota polis akibat salah faham dalam satu insiden di kawasan pangsapuri di Jalan Sungai, di sini, malam Rabu, disambung reman.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata pihaknya memperoleh perintah reman selama tiga hari lagi sehingga Isnin ini terhadap tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu yang ditahan selepas kejadian berkenaan.
Beliau berkata, lima lagi lelaki yang direman selama tiga hari sebelum ini telah tamat tempoh reman hari ini dan dibebaskan dengan jaminan polis.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam kejadian 9.50 malam itu, sepasukan polis yang sedang menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang di pangsapuri tersebut meminta bantuan pasukan lain dan sebaik tiba, mendapati empat anggota yang bertugas sedang mengejar seorang individu mencurigakan yang melarikan diri ke arah perumahan itu sebelum berlaku perselisihan faham dengan beberapa orang awam di situ.
Akibat kejadian itu, tiga daripada empat anggota polis terbabit mengalami kecederaan ringan ketika berlaku pergelutan dengan orang awam.
Susulan insiden berkenaan, polis menahan lapan lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 39 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan merusuh serta menggunakan kekerasan jenayah atau ugutan bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial