WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SINGAPURA, ASEAN KEKAL PENDEKATAN TERBUKA, INKLUSIF, TIDAK AKAN PILIH PIHAK - PM WONG

28/03/2026 07:20 PM

SINGAPURA, 28 Mac (Bernama) -- Singapura dan ASEAN akan terus mengamalkan pendekatan terbuka dan inklusif dalam menjalin hubungan dengan kuasa-kuasa besar dunia, serta enggan memihak di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meruncing antara Timur dan Barat, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.

Beliau berkata ASEAN menggunakan pendekatan pelbagai hala yang menekankan dialog membina dan kerjasama dengan semua kuasa besar.

Wong berkata perkara itu dicerminkan melalui platform pimpinan ASEAN seperti ASEAN Campur Tiga, yang menghimpunkan China, Jepun dan Korea Selatan, serta penglibatan lebih luas dengan rakan dialog termasuk Australia dan New Zealand semasa Sidang Kemuncak ASEAN setiap tahun.

"Itulah cara ASEAN. Kami mahu mendekati semua kuasa besar, walaupun mereka mempunyai cabaran sesama sendiri, kami melibatkan mereka dalam dialog dan libat urus yang positif serta membina, dan kami terus mencari titik persamaan untuk memperdalam kerjasama kami.

Ini adalah konsensus dalam kalangan negara ASEAN bahawa kami tidak mahu memilih pihak dan mahu terus mengekalkan rantau kami sebagai terbuka dan inklusif," katanya kepada pemberita pada sidang media bagi mengakhiri lawatan rasmi empat hari beliau ke China pada Sabtu.

Video sidang media itu boleh dilayari melalui saluran YouTube Channel News Asia.

Menurut Wong, Singapura menyifatkan China dan Jepun sebagai rakan kongsi yang sama penting bagi republik itu dan mengakui kepentingan untuk terus memperkukuh kerjasama dengan kedua-dua negara berkenaan.

"Ia juga terpakai bagi ASEAN, dan itulah sebabnya penting bagi kami untuk melibatkan mereka secara aktif, bukan sahaja secara dua hala tetapi juga dalam membentuk hal ehwal serantau," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai konflik yang berterusan di Asia Barat, Wong berkata beliau bersama rakan sejawatnya dari Malaysia, Australia, New Zealand dan Hong Kong berkongsi kebimbangan mendalam terhadap situasi di wilayah itu, terutamanya mengenai penutupan Selat Hormuz.

"Semua pihak di Asia amat bimbang, kerana seperti yang anda sedia maklum, Selat Hormuz merupakan sumber kritikal bagi bekalan minyak dan gas yang digunakan di Asia.

"Sekatan jangka panjang di Selat Hormuz akan memberi kesan kepada bekalan, dan kita bercakap mengenai bekalan hiliran dalam pelbagai industri, bukan sahaja dalam pasaran minyak," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan