KOTA KINABALU, 29 Mac (Bernama) -- Ketua Hakim Negara Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh akan mendahului senarai 1,026 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
Wan Ahmad Farid menerima darjah kebesaran tertinggi Sabah, iaitu Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.
Turut menerima SPDK ialah Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan ahli perniagaan Datuk Abdul Farish Abd Rashid.
Sementara itu, seramai 79 orang menerima pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk termasuk Panglima Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris dan Panglima 5 Divisyen Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Shamshor Jaafar.
Selain itu, Setiausaha Polis Malaysia DCP Datuk Abdul Rahman Kassim, Setiausaha Sulit Kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah Izharudin Jalaludin, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah Awang Juri Awang Tahir dan Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd Saadiah Aziz.
Ahli akademik yang menerima PGDK termasuk Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Dr Rossita Shapawi dan Pensyarah Kanan Sains Sosial UMS Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung.
Turut menerima PGDK ialah Ahli Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila Hazem Mubarak Musa, bekas ADUN Labuk Abdul Rahman Kongkawang, Ketua Cabang PKR Beaufort Dikin Musah, Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Azrul Ibrahim dan Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sulaman Mohammad Ghazali Hajiji.
Pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pula dianugerahkan kepada 117 penerima manakala seramai 192 orang menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK).
Penerima pingat Bintang Setia Kinabalu (BSK) pula berjumlah 260 orang diikuti 249 penerima Bintang Kinabalu (BK), 113 penerima Sijil Kehormat (SK) dan 13 orang menerima Jaksa Pendamai (JP).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial