BUKIT MERTAJAM, 29 Mac (Bernama) -- Kerjasama erat antara Pakatan Harapan (PH) dan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan menjadi kunci utama dalam memastikan kestabilan serta kekuatan gabungan itu terus terpelihara.
Pengerusi Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pendekatan itu selaras dengan prinsip “lebih kuat bersama”, yang diyakini mampu memperkukuh kedudukan parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata di Pulau Pinang, kerjasama di bawah Kerajaan Perpaduan terbukti sebagai formula berkesan dalam menghadapi pilihan raya.
“Pendekatan ini juga praktikal pada peringkat nasional kerana sebarang formula lain berpotensi memecahkan undi, sekali gus menjejaskan peluang memenangi kerusi serta memberikan kelebihan kepada pembangkang,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka PH Pulau Pinang di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, di sini malam ini.
Turut hadir pemimpin PH dan Barisan Nasional (BN), antaranya Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Pengerusi DAP Pulau Pinang Steven Sim, serta Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR yang juga Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Chow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata walaupun setiap parti mempunyai pandangan tersendiri, kesepaduan yang dibina melalui kerjasama itu menjadikan gabungan lebih kukuh dan diyakini mampu meraih kepercayaan rakyat.
Beliau berkata kerajaan negeri juga yakin dengan pencapaian setakat ini, khususnya dalam aspek pembangunan ekonomi seperti mengekalkan pelaburan asing, menarik industri serta mewujudkan peluang pekerjaan, meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Selain itu, tumpuan diberikan kepada pembangunan sosial dan agama melalui kesinambungan program sedia ada serta penambahan peruntukan dari semasa ke semasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial