AM

ATF PLATFORM PENTING PROMOSI PELANCONGAN SERANTAU

16/01/2025 04:41 PM

JOHOR BAHRU, 16 Jan (Bernama) -- Forum Pelancongan ASEAN (ATF) masih merupakan acara penting untuk mempromosikan pelancongan dalam kalangan 10 negara anggota terutamanya pada ketika pameran pelancongan antarabangsa semakin berkembang, kata Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk P. Manoharan.

Beliau berkata walaupun pelbagai pameran pelancongan telah muncul termasuk ITB Asia, Arabian Travel Market (ATM) dan World Travel Market (WTM), ATF satu-satunya acara yang mampu menyatukan rantau ini untuk mengetengahkan daya tarikan bersama kepada pasaran global.

“Ia satu-satunya platform yang menggabungkan kesemua 10 destinasi ASEAN untuk memperkenalkan ASEAN kepada pasaran jarak jauh sebagai satu destinasi yang menarik. Sehubungan itu, bagi saya, ATF masih relevan,” katanya.

Manoharan berkata untuk memastikan ATF kekal relevan, Persatuan Pelancongan ASEAN (ASEANTA) dan pihak berkepentingan perlu mengadakan perbincangan mendalam untuk menilai semula matlamat dan organisasi acara itu.

“ASEANTA dan pihak berkepentingan perlu mencapai muafakat mengenai bagaimana kita mengembangkan ATF. Hal ini mungkin melibatkan pencarian kaedah baharu untuk menyesuaikan dengan trend industri semasa," katanya.

Manoharan berkata demikian semasa taklimat media antarabangsa mengenai Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor bersempena penganjuran ASEAN Travel Exchange (TRAVEX), satu daripada komponen dalam ATF 2025.

Beliau menjawab pertanyaan sama ada ATF perlu disusun semula berikutan perkembangan platform serantau seperti ITB Asia serta pameran pelancongan antarabangsa lain seperti ATM dan WTM.

ATF 2025 yang berlangsung mulai semalam hingga 20 Jan ini bertujuan mempromosikan produk pelancongan serantau, memudahkan pertukaran pengetahuan, membina jaringan yang bernilai, dan mengukuhkan kerjasama dengan pemimpin dalam industri pelancongan global bagi meningkatkan bilangan pelancong melawat ASEAN.

Sementara itu, ketika ditemui media tempatan, Manoharan berkata sesi penerangan itu bertujuan memaklumkan dan mempromosikan TMM2026 kepada media antarabangsa.

TMM2026 katanya adalah agenda nasional penting dan kerajaan berharap mendapat kerjasama erat daripada media antarabangsa untuk mempromosikan kempen itu menerusi platform masing-masing.  

“Dalam sesi ini, kita telah memperincikan hala tuju Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia untuk kempen termasuk usaha memperkukuh kemudahan pengangkutan bagi memudahkan pelancong, serta usaha meningkatkan pengalaman pelancong bagi menggalakkan mereka menginap lebih lama dan berbelanja lebih banyak di Malaysia,” katanya. 

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan