SHAH ALAM, 15 Mac (Bernama) -- Seakan-akan berbuka, suasana sahur di Masjid India Muslim Tengku Kelana, Klang dekat sini kelihatan meriah dengan orang ramai dari pelbagai latar belakang hadir untuk bersama-sama menjamu selera dan bersahur.
Aroma minyak sapi dan tumisan rempah ratus hasil air tangan Nasib Mohd Yusof, 62, bersama dua lagi pembantu tukang masak ketika menyiapkan hidangan kari ayam, kubis goreng dan teh masalah menyambut kehadiran Bernama ketika tiba bagi membuat tinjauan ke masjid itu, kira-kira 1.30 pagi, baru-baru ini.
Hidangan bersama nasi putih itu dipersiapkan untuk kehadiran sekitar 300 Jemaah.
Ahli Jawatankuasa masjid Muhammad Muhiyaddin Jahir Husain berkata tradisi sejak 16 tahun itu membuatkan masjid yang terletak di tengah bandar Klang itu sentiasa dipenuhi jemaah walaupun bukan berada berdekatan dengan kawasan perumahan.
Beliau berkata masakan yang disediakan pihak masjid untuk mereka yang hadir bukan sahaja bertujuan membantu mereka yang kurang berkemampuan, tetapi juga sebagai strategi untuk menarik orang ramai hadir menunaikan solat Subuh secara berjemaah.
“Untuk sahur biasanya kita masak 50 kilogram beras dan lauk bergantung kepada sumbangan ahli kariah, dan tukang masak akan menentukan jenis menu yang akan disediakan bagi menjamu jemaah yang hadir.
“Menu ini ada macam-macam, contohnya dua hari lepas kita ada ikan bawal, ada juga hari yang kita akan masak beriani kambing, jadi memang meriah di sini,” katanya kepada Bernama.
Tinjauan mendapati orang ramai mula memenuhi ruangan di dalam dewan seawal 4.50 pagi, dan lebih istimewa inisiatif sahur percuma itu turut menjadi nilai tambah kepada usaha dakwah dilakukan oleh surau berdekatan.
Pengerusi Surau Kampung Pandan Salleh Marzuki berkata berkata beliau hadir bersama sekumpulan remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun untuk bersahur di masjid itu dan ia merupakan satu daripada pengisian dilakukan surau mereka untuk menarik anak muda mengambil manfaat memantapkan ibadah sepanjang Ramadan.
“Mereka ini anak-anak kariah Surau Kampung Pandan, Klang. Setiap kali Ramadan surau kami akan lakukan program seperti ini, kita galakkan anak-anak muda ini untuk beriktikaf dan luangkan masa mereka untuk solat jemaah dan ikuti program agama.
“Usaha ini telah lama kami laksanakan dan alhamdulillah ia mendapat sambutan baik. Anak-anak muda ini kita bawa sahur sekali, dan selepas itu mereka boleh solat Subuh berjemaah dan beriktikaf seketika sebelum pergi ke sekolah,” katanya.
Sementara itu Abdul Rahman Wong, 66, berkata beliau hampir setiap hari akan hadir untuk bersahur beramai-ramai di masjid berkenaan bersama rakan-rakan, sekali gus dapat mengeratkan silaturrahim selain dapat menjamu selera dengan masakan mamak secara percuma yang menjadi menu kegemarannya.
“Kalau makan di sini lagi seronok sebab kita pun dapat berkenalan dengan kenalan baharu. Kalau di rumah saya akan bersahur seorang diri sahaja,” kata mualaf yang berasal dari Kota Raja, Klang itu.
Masjid India Muslim Tengku Kelana yang dibina pada 1920 telah melalui pelbagai proses pengubahsuaian dengan pembangunan semula pada 2007 dilakukan bagi menampilkan seni bina Islam serta direka bentuk bermotifkan kegemilangan Islam Andalusia.
Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 18 Dis 2009.
-- BERNAMA