AM

KEKAL HARGA RM7 SEBUNGKUS, NASI BERIANI BASIR HABIS DIJUAL DALAM SEJAM

15/03/2025 04:30 PM

PONTIAN, 15 Mac (Bernama) -- Seorang peniaga di bazar Ramadan di Pekan Parit Betak, di sini menjadi tumpuan ramai kerana menjual nasi beriani gam ayam pada harga hanya RM7 sebungkus, yang menyaksikan jualannya habis dalam tempoh kira-kira sejam.

Basir Hasan, 55, berkata sejak berniaga Nasi Beriani Gam Klasik 10 tahun lepas, hanya sekali dia menaikkan harga iaitu pada 2022 daripada RM6 kepada RM7 walaupun tetap mengekalkan keasliannya dengan tidak mengurangkan sedikit pun ramuan seperti pelbagai jenis rempah, yogurt, badam dan gajus.

“Alhamdulillah buat masa ini walaupun harga bahan mentah meningkat, namun saya masih mampu mengekalkan harga jualan kerana saya turut mengamalkan konsep bersedekah dalam berniaga,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Basir berkata gerainya dibuka bermula 4.30 petang dan kebiasaannya jualan akan habis sekitar 5.30 petang dengan menggabungkan kaedah tempahan dalam talian serta jualan seperti biasa.

“Saya belajar resipi nasi beriani gam ini daripada ayah, Hasan Malilu yang merupakan tukang masak majlis kenduri kahwin di sekitar Parit Betak dan juga Benut, sebelum itu saya hanya menjadi pembantu kepadanya sahaja,” katanya  yang memasak 20 kilogram beras basmati setiap hari untuk jualannya di bazar berkenaan.

Basir berkata dia turut menyediakan sendiri bahan asas yang dikenali sebagai ‘garam masala’ iaitu campuran rempah-ratus, selain menggunakan ayam pencen sebagai lauk nasi beriani berkenaan.

“Bahan-bahan asas terutama rempah-ratus tidak boleh kurang, jika tidak jadi kurang sedap termasuklah penggunaan ayam pencen yang perlu diperap serta dimasak selama tiga jam dengan cara ‘ditanam’ bersama nasi,” katanya yang turut menjual nasi beriani daging dan kambing yang dijual pada harga RM8 dan RM9.

Sementara itu, seorang pelanggan Mohd Hamdan Safari, 62, mengakui nasi beriani hasil air tangan Basir mempunyai keaslian rasa tersendiri dan dengan rasa rempah yang mencukupi itu, maka tidak hairanlah ia menjadi rebutan pelanggan, selain harganya yang berpatutan.

Seorang lagi pelanggan,  Hussein Abdullah, 44 berkata setelah empat kali kecewa kerana habis, dia mengambil langkah menempah secara dalam talian untuk memastikan dapat merasai keenakan nasi beriani berkenaan.

“Alhamdulillah akhirnya saya dapat beli, harga yang dijual agak murah berbanding tempat lain yang kebanyakannya melebihi RM10 untuk sebungkus jadi saya berpuas hati,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan