FOKUS BERNAMA

BERPUASA DENGAN BETUL MAMPU TURUNKAN BERAT BADAN DI BULAN RAMADAN

17/03/2025 12:19 PM


From Nurqalby Mohd Reda

Memasuki minggu ketiga Ramadan, pastinya keadaan tubuh mereka yang berpuasa semakin selesa dengan rutin tidak makan dan minum sepanjang lebih 13 jam di siang hari.

Perut mungkin tidak lagi berkeroncong dan tekak juga sudah mampu menahan rasa haus. Barangkali, pakaian juga semakin longgar. 

Secara tidak langsung, amalan berpuasa berpotensi menurunkan berat badan. Malah, kajian saintifik juga menunjukkan berpuasa dapat memberikan kesan baik kepada kesihatan manusia.

Namun kata pakar, keadaan itu hanya akan berlaku sekiranya amalan tersebut dilakukan dengan betul, iaitu dilaksanakan seiring dengan diet yang seimbang ketika bersahur dan berbuka.

 

REHAT DAN PULIH SISTEM PENCERNAAN

Pakar pemakanan di Pusat Kajian Kesihatan Komuniti, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ruzita Abd Talib berkata kajian saintifik mendapati amalan berpuasa merupakan cara yang efektif untuk merawat dan memulih sistem pencernaan manusia.

pic-2

“Semasa berpuasa, sistem pencernaan tidak bekerja seperti biasa kerana kita tidak makan atau minum sepanjang hari. Ini bermakna tiada makanan yang perlu dihadam atau dicerna, dan sistem pencernaan dapat berehat seketika dalam tempoh berpuasa.

“Biasanya selepas makan, sistem pencernaan akan memproses makanan menjadi nutrien yang kemudian dibekalkan kepada tubuh. Jadi, dengan berpuasa, perut dan usus mendapat masa untuk pulih daripada ‘bekerja’ secara berterusan bagi menghadamkan makanan,’’ katanya kepada Bernama.

Justeru itu katanya amat penting untuk berpuasa dengan cara yang betul supaya perut dan usus  dapat menikmati rehat yang optimum, namun pada masa sama tidak mengganggu pembekalan nutrien mencukupi kepada tubuh.

“Meskipun proses pencernaan tidak berlaku ketika individu itu berpuasa, sistem tubuh tetap memastikan individu tersebut mempunyai sumber tenaga untuk menjalankan aktiviti seharian.

“Tubuh kita akan menggunakan tenaga yang disimpan dalam bentuk glikogen (tenaga yang disimpan dalam hati dan otot) dan lemak (tenaga yang disimpan dalam badan) untuk membantu kita kekal aktif menjalankan aktiviti harian.

“Oleh itu, walaupun kita tidak makan (kerana berpuasa), tubuh manusia akan tetap bekerja dengan membakar lemak yang disimpan, dan lemak ini yang akan digunakan sebagai sumber tenaga kita,” jelasnya.

 

BAKAR LEMAK KURANGKAN KALORI

Mengulas lanjut, Dr Ruzita berkata apabila individu itu tidak makan dan minum dalam tempoh yang agak panjang, pembakaran lemak akan berlaku dengan kadar lebih tinggi, dan secara tidak langsung turut menurunkan kadar kalori yang ada di dalam tubuh.

Katanya, keadaan itu berlaku apabila lemak di dalam tubuh digunakan dengan lebih efektif.

pic-3

“Apabila kita tidak makan dan minum dalam tempoh antara 13 ke 14 jam (berpuasa), keadaan ini akan meningkatkan lagi proses pembakaran lemak.

“Ditambah pula dengan amalan pemakanan yang sihat dan seimbang serta aktiviti fizikal lain, ia sebenarnya sudah mencukupi untuk membantu kita mengurangkan berat badan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, mereka yang berhasrat menyelam sambil minum air, iaitu berpuasa sebagai ibadah dan juga diet untuk menguruskan badan, perlu mengawal pengambilan makanan sepanjang bulan Ramadan agar penurunan berat berlaku dengan lebih berkesan.

Dr Ruzita berkata antara yang perlu dilakukan ialah mengelak pengambilan makanan berkalori tinggi.

“Elakkan pengambilan makanan segera dan ultraproses seperti makanan yang mempunyai pemanis buatan serta pewarna dan perisa tiruan, kerana makanan seperti ini tinggi kandungan garam dan lemak trans.

“Makanan yang mempunyai tinggi kalori itu  tidak membekalkan nutrien yang lengkap dan ia juga menyebabkan kita berasa cepat dahaga ketika berpuasa,” tambahnya.

 

HINDARI PUASA EKSTREM

Tidak menolak ada individu yang terlalu mengawal pemakanan sepanjang Ramadan bagi mencapai berat yang diingini, Dr Ruzita berkata golongan ini mengamalkan puasa secara ekstrem, iaitu berpuasa berpanjangan dengan mengelak pemakanan seimbang ketika berbuka.

Jelasnya, individu yang mengamalkan puasa lebih 20 jam secara kerap, berdepan risiko kesihatan dan masalah penghadaman.

Berpuasa dalam tempoh yang panjang akan menyebabkan berlakunya peningkatan asid hidroklorik (HCL) di dalam perut.

pic-4

“Fungsi HCL adalah untuk membantu pencernaan makanan. Semasa berpuasa, kurang makanan di dalam perut dan ini menyebabkan penghasilan asid HCL ini berkurang. Oleh itu, sistem pencernaan kita dapat berehat sebentar daripada merembeskan asid  yang banyak.

“Namun, jika berpuasa secara ekstrem atau berpanjangan, individu berkemungkinan berdepan masalah kesihatan lain termasuk pedih ulu hati, gastrik dan ulser perut serta berisiko menjejaskan keseluruhan sistem pencernaan selain mendatangkan masalah seperti sembelit dan ketidakselesaan perut,” katanya.

Dr Ruzita berkata mereka yang tidak bersahur juga berisiko mengalami masalah itu.

“Makan ketika bersahur adalah sumber tenaga penting yang akan membantu individu bertahan di siang hari. Kegagalan bersahur berisiko menyebabkan penurunan kadar kandungan gula dalam darah dan situasi ini boleh mengakibatkan seseorang itu pening kepala, mual dan cenderung pitam,” katanya.

’Selain itu, dengan tidak mengambil sebarang makanan ataupun minuman ketika bersahur, boleh menyebabkan dehidrasi kerana tubuh kekurangan cecair serta kekurangan nutrien penting yang diperlukan untuk kekal bertenaga.

“Ringkasnya, bersahur adalah sangat penting untuk memastikan badan kita berfungsi dengan baik semasa berpuasa sepanjang hari,” jelas beliau lagi.

 

KAWAL NAFSU MAKAN

Menurut Dr Ruzita, mereka yang ingin menurunkan berat badan atas apa juga alasan, perlu menjaga pemakanan dan tidak melakukan diet melampau.

pic-5

“Ada sesetengah individu yang sanggup mengehadkan pengambilan makanan demi mencapai berat badan impian dengan pantas. Akan tetapi, cara itu berisiko menjejaskan kesihatan seseorang dalam jangka panjang.

“Yang penting ialah kawal nafsu makan… jangan ambil makanan dengan jumlah yang banyak sewaktu berbuka, utamakan minum air kosong serta kurangkan juga kuih-muih atau manisan supaya kita tidak menambah kalori dalam setiap hidangan.

“Pastikan hidangan kita ada sayur dan buah-buahan segar seperti tembikai, betik serta buah oren yang merupakan sumber serat, vitamin dan mineral, kerana makanan seperti ini bukan sahaja penting untuk kesihatan tubuh, bahkan memberikan rasa kenyang ketika berpuasa,” katanya.

Menurut beliau, sebaiknya amalkan konsep Pinggan Sihat Malaysia, iaitu suku suku separuh walaupun pada bulan Ramadan.

“Pendekatan ini memastikan individu mengambil makanan secara seimbang, sekali gus dapat membantu dia menurunkan berat badan secara sihat sepanjang Ramadan,” katanya.

Pada masa sama, orang ramai juga diingatkan untuk kekal aktif selain mendapatkan tidur yang mencukupi bagi memastikan  berat badan berada dalam julat normal berdasarkan Indeks Jisim Badan (BMI).

“Ramadan juga harus menjadi bulan yang produktif. Lakukan senaman ringan seperti ‘briskwalk’ setiap hari jika berkemampuan, antara 30 hingga 60 minit sebelum berbuka puasa.

“Cara ini adalah langkah terbaik yang boleh membantu mengurangkan lemak (dalam badan), sekali gus berupaya menurunkan berat badan dalam tempoh berpuasa yang berbaki dua minggu sahaja lagi,” katanya.

--BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan