MELAKA, 18 Mac (Bernama) -- Jumlah pembayar zakat fitrah mengikut jenis beras iaitu super import dengan kadar ditetapkan RM15 dan basmati (RM22) di Melaka meningkat dalam tempoh 17 hari Ramadan tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu berkata peningkatan 30 peratus bagi jenis beras super import dan basmati (20 peratus) itu kemungkinan disebabkan beberapa faktor seperti perubahan trend masyarakat Islam membeli beras lebih baik yang meningkat selain kesukaran mendapatkan beras super spesial tempatan yang kadar zakat fitrah ditetapkan RM7.
"Jadi resit pembayaran zakat fitrah yang banyak dikeluarkan amil ialah kadar harga RM15 dan RM22. Situasi itu agak mengejutkan kerana pada tahun lepas pembayar zakat lebih cenderung membayar pada kadar RM7.
"Perubahan itu mungkin berlaku kerana peningkatan kuasa membeli beras lebih baik dalam kalangan umat Islam di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Program Tautan Kasih Ramadan 'Busana Aidilfitri Asnaf' anjuran Zakat Melaka 2025 yang turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.
Mengulas lanjut, Azmi berkata sekiranya trend pembayaran zakat pada kadar dua jenis harga beras tersebut terus meningkat hingga akhir Ramadan, jumlah kutipan zakat fitrah di Melaka dijangka mampu mencapai sasaran RM6.5 juta tahun ini, berbanding RM6.3 juta tahun lepas.
Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan rekod pembayaran zakat fitrah terkini, umat Islam di Melaka lebih memilih untuk melunaskan Rukun Islam keempat itu melalui amil yang dilantik di seluruh negeri berbanding melalui kaedah dalam talian.
Beliau berkata 1,078 amil dilantik untuk menguruskan kutipan zakat fitrah tahun ini berbanding 1,021 amil tahun lepas.
"Kira-kira 70 peratus daripada jumlah pembayar zakat fitrah yang telah melunaskan kewajipan itu lebih gemar melakukannya dengan amil yang dilantik kerana mereka lebih selesa dengan kaedah itu antaranya sebabnya ialah mereka hendak melafazkan akad ketika proses tersebut," katanya.
-- BERNAMA