DUNIA

SURUHANJAYA TINGGI MALAYSIA DI NAMIBIA ANJUR SAMBUTAN NUZUL QURAN DAN IFTAR 

19/03/2025 12:35 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia pada Selasa menganjurkan sambutan Nuzul Quran dan majlis iftar bagi lebih 150 hadirin di Pusat Islam Windhoek. 

Majlis yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Wanita Islam Namibia itu turut dihadiri oleh Kuasa Usaha Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya. 

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa sambutan itu bagi memperingati peristiwa penurunan ayat pertama al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW, satu peristiwa yang sangat bermakna bagi umat Islam di seluruh dunia, termasuk di Malaysia dan Namibia. 

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Rameez turut menzahirkan kegembiraannya atas kehadiran ramai golongan belia dalam majlis berkenaan.

Beliau juga menekankan bahawa penganjuran acara itu bertujuan membantu golongan memerlukan sepanjang Ramadan serta mempromosikan konsep Malaysia Madani di peringkat antarabangsa. 

Sementara itu, Pengerusi Majlis Islam Namibia, Dr Salmaan D. Jacoobs menghargai sokongan berterusan Malaysia terhadap umat Islam di negara itu, khususnya melalui kerjasama dengan Pusat Islam Windhoek. 

Antara acara kemuncak majlis ialah bacaan al-Quran oleh Imam Sheikh Mahmoud dari Mesir serta bacaan ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW oleh Malaikat Jibril di Mekah. 

Umat Islam di Namibia dianggarkan berjumlah sekitar dua peratus daripada populasi 3.1 juta penduduk negara itu. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan