AM

J-KOM MAINKAN PERANAN BANTU PENGUNDI KALI PERTAMA AGAR TIDAK TERSALAH PILIH

19/03/2025 02:40 PM

MUAR, 19 Mac (Bernama) -- Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) akan memainkan peranan membantu golongan muda terutama pengundi kali pertama agar tidak tersalah memilih pemimpin pada pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi mengelakkan kesan buruk kepada politik negara.

Ketua Pengarah J-KOM Datuk Ismail Yusop berkata kelompok berkenaan akan dibantu untuk membuat keputusan yang bijak serta tidak terpengaruh dengan agenda pihak tertentu yang bakal merugikan mereka serta negara kelak.

“J-KOM akan bergerak ke seluruh negara melalui program bersesuaian bagi menjelaskan kepentingan sejarah negara, juga Perlembagaan Persekutuan. Malah, kita juga menyediakan latihan libat urus, forum, kursus dan seminar agar ia (pemahaman sebenar) sampai kepada komuniti.

“Kita juga mempunyai modul latihan sistem negara seperti maksud Raja Berperlembagaan, peranan Perlembagaan Persekutuan, ideologi Rukun Negara dan maksud kerangka Malaysia MADANI,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ihya’ Ramadan Zon Selatan di Masjid Sulaimaniah, Parit Pinang Seribu di sini malam tadi.

Ismail berkata beliau berharap agar semua pihak bersama-sama dengan J-KOM, terutamanya ibu bapa memainkan peranan memberikan kefahaman berkaitan sejarah negara dan Perlembagaan kepada pengundi muda.

“Pada PRU lepas, telah berlaku ketidaktentuan dalam politik negara. Itu hak mereka (pengundi muda) untuk menyokong parti mana, namun mereka perlu tahu justifikasi dan neraca yang digunakan. 

“Jangan terlalu berpandukan kepada media sosial sehingga melibatkan sentimen. Ini masa depan negara dan bukannya seperti mengundi ketua pengawas,” katanya yang mengingatkan proses memilih pemimpin negara perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab.

Ismail berkata kini sudah tiba masanya anak-anak muda yang diberikan tanggungjawab mengundi diberikan ilmu dan kefahaman mengenai sejarah dan asas kenegaraan agar pemimpin yang dipilih memberikan manfaat kepada negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan