AM

PM ANWAR HULUR SUMBANGAN KEPADA WARTAWAN VETERAN NAS AHMAD

19/03/2025 06:05 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada wartawan veteran Md Nasir Ahmad atau lebih dikenali sebagai Nas Ahmad yang kini diuji masalah kesihatan.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi ketika menziarah Md Nasir di kediamannya di Kota Damansara, Selangor.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Ahmad Farhan berkata serangan jantung yang dialami bekas wartawan hiburan itu sejak beberapa tahun lepas diikuti masalah penglihatan akibat katarak, membuatkan beliau tidak lagi mampu bekerja.

"Pendapatan yang dahulunya menjadi sumber rezeki kini terputus, dan beliau hanya mampu bergantung kepada sokongan ahli keluarga serta bantuan yang ada.

"Dalam pertemuan ini, saya mendengar sendiri rintihan dan cabaran yang beliau hadapi yakni kos rawatan yang semakin tinggi, keperluan keluarga yang perlu dipikul, dan keterbatasan akibat keadaan kesihatannya," katanya.

Ahmad Farhan berkata ketika sebagai wartawan, Nas Ahmad bukan sekadar menyampaikan berita, malah turut memperjuangkan kebajikan artis dan insan seni.

"Namun hari ini beliau sendiri diuji dengan masalah kesihatan yang merubah segalanya.

"Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung, dan semoga Allah SWT mengurniakan aafiyah serta ketenangan buat beliau dan keluarganya," katanya.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan