JOHOR BAHRU, 19 Mac (Bernama) -- Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bersedia menawarkan khidmat sokongan kepada mangsa insiden yang ditampar warga emas di Angsana Mall, di sini, Ahad lepas.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata Pengarah JPNIN telah berjumpa dengan mangsa Elijah Ling Zhao Zhong, 22, dan pihak JPNIN dimaklumkan beliau memerlukan ‘privacy’ (tidak diganggu).
“Oleh itu, saya memohon agar semua pihak (wakil rakyat, media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat memberikan kerjasama dalam hal ini dengan memberikan ruang kepada beliau.
“Saya berharap agar semua rakyat Malaysia dapat sentiasa mengutamakan dan mengamalkan sikap saling hormat-menghormati dalam kehidupan seharian,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
-- BERNAMA