EKONOMI

MSM RANCANG JADIKAN KILANG TANJUNG LANGSAT PUSAT EKSPORT GULA, TEROKA PASARAN BAHARU

20/03/2025 10:26 AM

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

 

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- MSM Malaysia Holdings Bhd, pengeluar gula bertapis utama negara merancang menjadikan kilangnya di Tanjung Langsat, Johor sebagai pusat eksport dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Ketua pegawai eksekutif kumpulannya Syed Feizal Syed Mohammad berkata sasaran itu diletakkan  sejajar dengan usaha syarikat meningkatkan faktor penggunaan kilang tersebut kepada 80 peratus daripada kira-kira 50 peratus ketika ini.

Beliau berkata, kilang di Tanjung Langsat itu yang beroperasi sejak 2018 sedang dalam proses meningkatkan kecekapan proses pengilangan dan tahap pengeluaran agar setanding dengan kilang pertama syarikat di Perai, Pulau Pinang.

"Kilang MSM di Perai mampu menghasilkan kadar pengeluaran sehingga 97 peratus berbanding kilang di Tanjung Langsat yang mencapai 94 hingga 95 peratus.

‘Walaupun perbezaan ini kecil, setiap peratusan adalah keuntungan, dan kami menetapkan sasaran untuk mencapai 97 peratus," katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, Syed Feizal berkata produk syarikat kini dieksport ke 22 negara dengan kira-kira 20 peratus daripada hasil eksport menyumbang kepada pendapatan syarikat.

Menurutnya, MSM kini merancang memperluaskan pasaran ke Timur Tengah dan Afrika bagi memanfaatkan peningkatan penggunaan gula di rantau tersebut.

"Ketika ini terdapat defisit gula global. Kami melihat Timur Tengah dan Afrika sebagai pasaran pertumbuhan tinggi kerana penggunaan per kapita (di rantau itu) meningkat mendadak.

“Walaupun terdapat kilang di rantau tersebut, pengeluaran sedia ada tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan, justeru MSM kini merangka strategi memasuki pasaran ini," katanya.

Mengenai sumber bahan mentah, Syed Feizal berkata MSM masih bergantung sepenuhnya kepada import tebu dari Thailand, Brazil dan India dan sedang mengkaji mengkaji potensi “palm sugar” (gula melaka) daripada sumber seperti kelapa dan nipah sebagai sumber alternatif.

“Pengeluaran ‘palm sugar’ ini mungkin bukan berskala besar, tetapi Insya-Allah dapat memenuhi cita rasa pengguna yang gemar kepada jenis gula ini,” katanya. 

Bagi usaha meningkatkan keterjaminan makanan negara dan mengatasi risiko harga pasaran dunia, beliau berkata pihaknya sedang mengkaji  untuk kembali mengusahakan perladangan tebu 

“MSM pernah mengusahakan seluas kira-kira 4,000 hektar ladang tebu di Chuping, Perlis sejak 1970-an namun operasinya dihentikan kerana skala tersebut tidak ekonomik,” katanya.

Beliau berkata syarikat kini sedang meninjau lokasi baharu di Sarawak dan negeri-negeri di utara Semenanjung untuk mengkaji semula perladangan tebu dalam skala lebih besar bagi memenuhi keperluan industri.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan