KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Usaha kerajaan mengembalikan Parlimen sebagai sebuah institusi bebas dan berdaulat adalah satu anjakan besar dalam memperkasakan institusi itu sebagai cabang perundangan yang benar-benar berfungsi, berwibawa dan bebas.
Beberapa Ahli Dewan Negara berpendapat dengan cara itu, Malaysia akan dapat memantapkan lagi pengasingan kuasa antara perundangan, kehakiman dan eksekutif.
Senator Rita Sarimah Patrick Insol berkata doktrin pengasingan kuasa menyatakan bahawa kuasa tidak boleh dipusatkan pada seseorang atau satu badan sahaja bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
“Mandat bagi pengasingan kuasa memang termaktub dalam perkara 121 bagi kehakiman, perkara 39 bagi eksekutif dan perkara 44 bagi legislatif atau badan perundangan.
“Namun badan perundangan belum mendapat otonomi penuh kerana kewangan dan sumber manusia masih dikawal oleh badan eksekutif,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 pada persidangan Dewan Negara hari ini.
RUU itu yang bertujuan membolehkan kerajaan mengembalikan dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen selepas 33 tahun ia dimansuhkan, dibentang untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, sebelum kemudiannya diluluskan Dewan Negara.
Turut bersetuju Senator Susan Chemerai Anding yang menegaskan bahawa tidak sepatutnya institusi Parlimen yang memiliki keasingan kuasa, kewibawaan dan kebebasan tersendiri, tetapi masih bergantung kepada cabang eksekutif dalam beberapa perkara seperti kewangan dan pentadbiran.
“Oleh itu boleh dikatakan tidak bebas daripada cabang eksekutif. Situasi ini boleh mengakibatkan Parlimen hilang kewibawaannya dan ini sudah pasti tidak baik untuk demokrasi dan kedaulatan Parlimen,” katanya ketika membahaskan RUU sama.
Beliau dalam pada itu, mahu peranan semak dan imbang Dewan Negara turut ditambah baik dengan menambah bilangan Ahli Dewan Negara yang ketika ini hanya 58 orang berbanding bilangan Ahli Dewan Rakyat iaitu 222 orang.
Turut dibentang untuk bacaan kali kedua hari ini ialah RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, bertujuan antaranya bagi menubuhkan Perkhidmatan Parlimen yang mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia.
Senator Datuk A. Kesavadas ketika membahaskan RUU itu berkata dalam memastikan Majlis Perkhidmatan Parlimen itu beroperasi dengan penuh ketelusan, tanpa penyalahgunaan kuasa, sebuah Jawatankuasa Pengawasan Bersama perlu ditubuhkan.
“Kita tidak boleh membiarkan MPP Parlimen menjadi entiti tanpa kawalan walaupun dalam urusannya sendiri, maka solusinya adalah tubuhkan Jawatankuasa Pengawasan Bersama yang terdiri daripada anggota dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.
Senator Datuk Ahmad Ibrahim pula mencadangkan supaya mewujudkan sistem pemantauan bebas yang memastikan perbelanjaan yang dikeluarkan memberi manfaat kepada fungsi Parlimen dan rakyat.
Beliau berkata Parlimen juga perlu menggunakan teknologi terkini dalam sistem kewangan untuk meningkatkan ketelusan dan memudahkan proses pemantauan serta memastikan ia mempunyai sumber tenaga manusia berkualiti, profesional dan berintegriti.
RUU itu turut diluluskan hari ini.
-- BERNAMA