SIBU, 20 Mac (Bernama) -- Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Masyarakat Song di Bahagian Kapit hari ini bagi menempatkan 44 mangsa yang terkesan akibat banjir susulan hujan lebat berterusan dari 9 malam semalam hingga pagi tadi.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, PPS itu dibuka pada 12.30 tengah hari dan setakat 7 malam ini, menempatkan penduduk dari Kampung Sejiran, Kebiau Lot dan Rumah Jarop.
Ibu Pejabat Polis Daerah Song dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan bacaan paras air Sungai Batang Rajang ialah setinggi 11 meter dan keadaan arus sangat deras ketika pemantauan.
Antara kawasan yang dinaiki air ialah Rumah Gelana, Nanga Tekalit, Rumah John, Nanga Embuau, Kampung Sejiran, Kampung Emperan Mulong, Rumah Jarop, Nanga Sempadi, Kampung Rian dan kuarters-kuarters kerajaan.
Turut terjejas Sekolah Menengah Kebangsaan Katibas dan Sekolah Kebangsaan Temalat.
Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh hubungi Balai Polis Song di talian 084-777 222.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Katibas Lidam Assan menasihati penduduk agar berhati-hati mendepani bencana banjir dan melaporkan diri ke Pejabat Daerah Song jika rumah mereka dinaiki air.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan