AM

KERAJAAN JOHOR SALUR PERUNTUKAN RM1 JUTA BAGI KERJA-KERJA KRITIKAL, KECEMASAN

23/03/2025 03:06 PM

JOHOR BAHRU, 23 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan menyalurkan RM1 juta di bawah peruntukan khas bagi kerja-kerja kritikal dan kecemasan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata peruntukan itu, susulan kejadian tanah mendap di Pangsapuri Jalan Padi Malinja Fasa 13 Bandar Baru Uda di sini.

Beliau berkata pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan akan mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk terjamin.

“Saya telah turun padang bersama-sama Datuk Bandar MBJB Datuk Mohd Haffiz Ahmad dan pihak berkuasa tempatan lewat malam tadi untuk meninjau keadaan sebenar di lokasi kejadian dan amat memahami kegusaran penduduk yang terkesan akibat situasi ini.

“Sebagai langkah awal, kerajaan negeri melalui MBJB akan menyalurkan bantuan di bawah peruntukan khas bagi kerja-kerja kritikal dan kecemasan. Anggaran awal peruntukan sekitar RM1 juta atau lebih, bergantung kepada keperluan sebenar selepas penilaian terperinci dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Jafni berkata keutamaan akan diberikan kepada kerja-kerja pemulihan yang segera bagi memastikan keadaan kembali stabil dan selamat.  

“Kerja-kerja awalan itu adalah seperti binaan semula tembok parit utama dan jalan di kawasan parkir serta penanaman cerucuk keping kekal untuk mengukuhkan struktur tebing bagi menggantikan tembok yang gagal.

“Sementara di Jalan Padi Emas 5/1 kerja-kerja yang akan dilaksanakan adalah pengukuhan tebing dengan penanaman cerucuk bakau bagi mengelakkan hakisan berulang dan pembinaan semula tembok penahan parit utama, sebelum kerja pembaikan dijalankan," katanya.

Beliau berkata kerja-kerja awalan dijadualkan bermula hari ini, termasuk langkah-langkah mitigasi bagi mengelakkan risiko lebih besar kepada penduduk. 

"Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi  juga akan memastikan pihak berkaitan, termasuk MBJB dan agensi teknikal lain menjalankan tugas mereka dengan teliti dan efisien agar masalah ini dapat ditangani sebaik mungkin.  

"Saya menyeru semua pihak termasuk penduduk dan jawatankuasa penduduk agar sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam usaha pemulihan ini. Keselamatan penduduk adalah keutamaan dan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam memastikan setiap tindakan yang diambil memberikan manfaat kepada semua pihak yang terkesan," tambah beliau.

Kerajaan negeri sentiasa cakna dengan isu-isu perumahan serta infrastruktur yang menjejaskan rakyat, dan akan terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik selain memastikan setiap peruntukan yang disalurkan digunakan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat Johor.  

“Kami komited untuk terus memantau keadaan dan menyediakan bantuan sewajarnya agar penduduk dapat meneruskan kehidupan dengan lebih selesa dan selamat. Langkah-langkah jangka panjang juga akan dikaji bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan