AM

ISU 'PENGEMIS JADIAN' PERLU DITANGANI DENGAN BERHEMAH

23/03/2025 04:21 PM

JITRA, 23 Mac (Bernama) -- Kemunculan ‘pengemis jadian’ di bazar dan pekarangan masjid khususnya setiap kali Ramadan, perlu ditangani secara menyeluruh dan berhemah kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan.

Beliau berkata dalam menangani isu tersebut, pihak berkuasa turut memerlukan kerjasama daripada masyarakat setempat, bagi memastikan ia dapat diselesaikan dengan baik.

“Ia memerlukan satu kerjasama bersama daripada pihak berkepentingan, agar kita dapat menanganinya secara berhikmah, menyeluruh dan tuntas.

“Kita juga meraikan semua cadangan dan pandangan daripada orang awam, jika ada maklumat berkaitan, mereka boleh menyalurkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan,” katanya ditemui di program Wanita Darulaman Bertadabbur di Pusat Pendidikan Al Azhar di Mukim Gelong, dekat sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kehadiran ‘pengemis jadian’ sama ada terdiri daripada rakyat tempatan atau warga asing, meningkat mendadak terutama menjelang hari-hari terakhir bulan puasa.

Mereka biasanya dilihat di kawasan tumpuan ramai seperti bazar Ramadan dan pekarangan masjid.

Dalam pada itu Zulkifli berkata apa sahaja tindakan yang dilakukan memerlukan penelitian dan kajian sewajarnya agar ia tidak dilakukan secara berlebihan.

“Apa yang kita boleh lihat adalah kita, kerajaan MADANI ingin membuat yang sebaiknya kepada semua,” katanya.

Zulkifli berkata amalan bersedekah sememangnya meningkat di bulan mulia ini, namun jika orang ramai bimbang dengan penipuan mereka boleh merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa berkaitan untuk kepastian.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan