AM

TNB SIAP SIAGA HADAPI BANJIR DI TERENGGANU, KELANTAN

23/03/2025 09:22 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengaktifkan pasukan teknikal dan kesiapsiagaan bencana berikutan ramalan awal banjir di beberapa daerah di Terengganu dan Kelantan bermula malam ini. 

TNB menerusi kenyataan memaklumkan bekalan elektrik di kawasan yang terjejas mungkin akan diputuskan sementara sekiranya berlaku banjir bagi memastikan keselamatan penduduk.

“TNB mengambil maklum ramalan awal banjir seperti yang dimaklumkan oleh Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN). 

“TNB sentiasa mengutamakan keselamatan pengguna dan akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk memantau keadaan serta mengambil tindakan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Syarikat utiliti berkenaan turut menasihatkan orang ramai agar mengelakkan kawasan yang ditenggelami air, berhati-hati dengan peralatan elektrik serta mematuhi arahan pihak berkuasa berkaitan pemindahan dan keselamatan.

Untuk maklumat lanjut atau aduan berkaitan bekalan elektrik orang ramai boleh menghubungi TNB Careline di 15454, Private Message (PM) di Facebook TNB Careline, Direct Message (DM) ke X @Tenaga_Nasional atau e-mel ke tnbcareline@tnb.com.my. 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Sabah, Kelantan dan Terengganu bermula hari ini hingga esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan