IPOH, 24 Mac (Bernama) -- Sepasang suami isteri ditahan di sebuah stesen minyak di Taman Canning di sini pada Khamis lepas kerana dipercayai terbabit aktiviti pengedaran dadah dan pihak berkuasa turut merampas dadah bernilai jumlah RM1.19 juta yang dimasukkan dalam botol produk kecantikan.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata suspek lelaki berusia 30 tahun dan isterinya berusia 29 tahun yang bekerja sebagai jurujual penapis air itu ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak kira-kira 2.30 petang.
Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap suspek lelaki di kaunter perkhidmatan kurier di stesen minyak berkenaan menemukan enam botol plastik dan kaca bertulisan produk minuman kesihatan yang disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran isipadu cecair sejumlah 1,287 mililiter (ml).
"Hasil soal siasat ke atas suspek lelaki itu, sepasukan polis telah pergi ke rumah pasangan berkenaan di Chemor dan menemukan enam botol plastik disyaki mengandungi methamphetamine dianggarkan sebanyak 34,784 ml," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Noor Hisam berkata pihaknya turut merampas sebuah kenderaan Perodua Myvi serta peralatan membungkus dadah dan sebuah telefon bimbit.
Beliau berkata hasil saringan awal air kencing mendapati suspek wanita positif dadah jenis benzodiazepina manakala suspek lelaki mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.
Sindiket itu dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Jun tahun lepas dan dadah yang dirampas dipercayai diedarkan untuk pasaran dalam dan luar negara.
"Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan untuk seramai 373,331 penagih dadah," katanya sambil menambah kedua-duanya direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BEENAMA