DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI, DIDORONG OLEH SENTIMEN POSITIF

26/03/2025 10:43 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Rabu, menjejaki kenaikan di Wall Street dalam tempoh semalaman, kata penganalisis.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.74 mata kepada 1,518.34 daripada 1,513.60 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras dibuka 3.10 mata lebih tinggi kepada 1,516.61.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 138 berbanding 123, manakala 230 kaunter tidak berubah, 1,978 kaunter tidak diniagakan dan 46 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 136.72 juta saham bernilai RM71.21 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup tinggi apabila pelabur menilai data sentimen pengguna dan menjangkakan pendirian dasar perdagangan yang lebih fleksibel daripada pentadbiran Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

Beliau berkata tiga indeks utama berakhir dalam wilayah positif, dengan Purata Perindustrian Dow Jones dan Nasdaq masing-masing meningkat 0.01 peratus dan 0.46 peratus, manakala S&P 500 menambah 0.16 peratus.

Bagi Asia, pasaran ditutup bercampur-campur apabila pelabur di China dan Hong Kong mengambil keuntungan, mengheret Indeks Hang Seng turun 2.35 peratus.

Thong berkata dalam negara, walaupun FBM KLCI mencatatkan lantunan, platform dagangan dalam talian itu mengekalkan pandangan berhati-hati dalam keadaan ketidakpastian global yang berterusan.

"Kami menjangkakan sokongan belian ke atas kaunter mewah dan mengekalkan indeks penanda aras dalam julat 1,510 hingga 1,520," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank menambah 3.0 sen kepada RM4.47, CIMB dan Sunway masing-masing naik 4.0 sen kepada RM7.04 dan RM4.50, Tenaga meningkat 6.0 sen kepada RM13.66, manakala Maybank menokok 2.0 sen kepada RM10.24.

Antara saham aktif, Chemlite Innovation Bhd yang baru disenaraikan di Pasaran ACE turun 2.0 sen kepada 23 sen. Saham itu dibuka pada 23 sen sesaham, turun 8.0 peratus daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 25 sen.

Saham aktif lain Reneuco meningkat setengah sen kepada 5.5 sen, Mestron  susut setengah sen kepada 25.5 sen, Pegasus Heights kekal pada 1.0 sen, JCY turun setengah sen kepada 42 sen, dan Aizo kekal pada 10.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 23.48 mata kepada 11,374.98, Indeks FBMT 100 naik 24.89 mata kepada 11,113.31, dan Indeks FBM Emas Syariah bertambah 16.27 mata kepada 11,106.46.

Bagaimanapun, Indeks FBM 70 susut 2.77 mata kepada 16,303.79, manakala Indeks FBM ACE naik 4.79 mata kepada 4,750.59.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 67.36 mata kepada 18,491.13, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.04 mata kepada 153.36, Indeks Perladangan menokok 8.89 mata kepada 7,446.56 namun, Indeks Tenaga turun 0.78 mata kepada 753.80.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan