EKONOMI

PEMBIAYAAN ISLAM NAIK KEPADA RM1.13 BILION, PERTUMBUHAN TAKAFUL SEDERHANA - BNM

24/03/2025 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Industri perbankan Islam dan takaful Malaysia terus mencatat pertumbuhan positif pada 2024 dengan sumbangan industri perbankan Islam dalam keseluruhan sistem kewangan meningkat kepada 46.6 peratus tahun lepas berbanding 45.6 peratus pada 2023.

Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Laporan Tahunan 2024 berkata sumbangan bersih bahagian industri takaful pula meningkat kepada 23.9 peratus pada 2024 daripada 23.4 peratus pada tahun sebelumnya.

“Institusi perbankan Islam dan takaful kekal berdaya tahan dan mempunyai tahap modal yang kukuh dengan pembiayaan Islam meningkat kepada RM1.13 bilion pada 2024 berbanding RM1.04 bilion pada tahun sebelumnya.

“Daya tahan institusi kewangan Islam telah membolehkan industri terus memenuhi keperluan pembiayaan perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan isi rumah serta menyediakan perlindungan kewangan," katanya.

BNM berkata walaupun jumlah sumbangan bersih takaful berkembang dengan stabil, penembusan pasaran takaful keluarga sebaliknya agak sederhana pada 2024.

“Hal ini disebabkan penurunan jualan sijil baharu bagi produk berkaitan pelaburan serta produk perubatan dan kesihatan sepanjang tahun itu berikutan cabaran inflasi kos perubatan serta tekanan kos sara hidup secara amnya," katanya.

Bagi tahun di bawah tinjauan itu, BNM terus memajukan kewangan Islam dengan kerjasama pihak berkepentingan utama, dengan usaha kekal ditumpukan bagi meningkatkan sumbangan sektor kewangan Islam terhadap pembangunan ekonomi, kelestarian dan rangkuman kewangan.

Menurutnya, ini termasuk memperkukuh persekitaran pengawalseliaan untuk menggalakkan kewangan berasaskan nilai dan instrumen kewangan yang inovatif.

Pada peringkat global, BNM bekerjasama secara aktif dengan industri bagi mengukuhkan kepimpinan berwawasan Malaysia dalam kewangan Islam serta kedudukan Malaysia sebagai gerbang antarabangsa bagi kewangan Islam.

Kerjasama itu termasuk meningkatkan jalinan rentas sempadan dan kejelasan berhubung pemahaman dan aplikasi Syariah dalam aktiviti kewangan moden, menggalakkan pengiktirafan bersama dalam Syariah dan berkongsi pandangan serta amalan terbaik melalui pelbagai forum antarabangsa yang selaras dengan keutamaan pembangunan digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026.

Bagi 2025, keutamaan strategik BNM adalah untuk terus membangunkan ekosistem kewangan Islam dan membolehkan industri menyesuaikan diri dan berkembang secara mampan dalam persekitaran yang pesat berubah.

"BNM akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama bagi memacu masa hadapan kewangan Islam iaitu memperkukuh ekosistem bagi menyokong pembangunan ekonomi dan sosial, memastikan pertumbuhan yang berterusan dan persekitaran pengawalseliaan, rangka kerja Syariah bersifat penggerak yang menyokong inovasi selain dapat disesuaikan dengan keperluan industri yang sentiasa berubah," katanya.

Tumpuan seterusnya, kata BNM, adalah usaha meletakkan Malaysia sebagai gerbang antarabangsa bagi kewangan Islam melalui hubungan antarabangsa, jalinan perniagaan dan pertumbuhan pasaran yang lebih kukuh.

“Usaha ini termasuk memajukan peranan kewangan Islam dalam menyokong keperluan pendanaan serantau yang merangkumi projek iklim, peralihan hijau dan kewangan sosial semasa Kepengerusian ASEAN Malaysia,” katanya.

 -- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan