KUALA TERENGGANU, 26 Mac (Bernama) -- Sebanyak 148 notis dengan nilai kompaun RM20,850 dikeluarkan terhadap peniaga bazar Ramadan atas pelbagai kesalahan sejak 2 Mac hingga semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Datuk Dr Kasemani Embong berkata kesalahan dikesan hasil pemeriksaan terhadap 3,721 tapak bazar Ramadan di negeri itu termasuk tidak patuh dengan pakaian pengendali makanan, kebersihan diri, pengendali tiada latihan dan menggaji pekerja tiada suntikan tifoid.
"Sebanyak 64 sampel makanan telah diambil secara rawak dan masih menunggu keputusan makmal.
"Pada Ramadan tahun lepas, sebanyak 170 notis dengan nilai kompaun RM17,750 dikeluarkan terhadap peniaga yang tidak mematuhi peraturan walaupun telah berulang kali diingatkan," katanya pada Kempen Keselamatan Makanan Sempena Op Aidilfitri 2025 Peringkat Negeri Terengganu, di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Sementara itu, Kasemani berkata JKNT turut merampas 18 produk makanan bernilai RM791.49 dalam Op Aidilfitri yang dijalankan di 33 premis jualan termasuk pasar raya, pasar mini dan kedai runcit bermula 16 Mac lepas.
Beliau berkata rampasan dibuat atas kesalahan tidak mematuhi keperluan pelabelan pembungkusan yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985.
"Di samping itu, enam notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 bagi pelbagai kesalahan yang boleh dikompaun juga telah dikeluarkan dengan nilai kompaun RM16,500.
"Kesalahan utama adalah di bawah Peraturan 14(9)(b) iaitu menjual bungkusan makanan yang telah tamat tarikh luput dan Peraturan 11(1)(j) iaitu tiada nama pengilang bagi makanan import," katanya.
Katanya, pihak JNKT akan terus menjalankan operasi di bazar Ramadan dan Op Aidilfitri hingga akhir Ramadan ini bagi memastikan kepatuhan peniaga dan keselamatan pengguna.
-- BERNAMA