EKONOMI

PERTUMBUHAN PEMBIAYAAN ISLAM KEKAL STABIL PADA 8.0 PERATUS BAGI 2025 - RAM RATINGS

26/03/2025 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangkakan pertumbuhan pembiayaan Islam akan berkembang pada kadar stabil sebanyak lapan peratus pada 2025 walaupun menghadapi cabaran dan ketidaktentuan global.

Agensi penarafan kredit itu berkata pembiayaan Islam kini merangkumi 43 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan pada penghujung 2024, berbanding 42 peratus pada 2023.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Bersama Penarafan Institusi Kewangan Wong Yin Ching berkata pengaruh dan kepentingan industri perbankan Islam akan terus berkembang berikutan dasar 'Mengutamakan Islam' yang diterapkan oleh pemain utama dalam perbankan dan sokongan kawal selia.

Menurut agensi penarafan itu, pertumbuhan deposit industri Islam, walaupun meningkat kepada 5.9 peratus pada 2024 berbanding 5.2 peratus pada tahun sebelumnya, masih ketinggalan berbanding pengembangan kredit.

"Deposit tetap Islam kekal menjadi pendorong utama pertumbuhan deposit, dengan peningkatan sebanyak 7.4 peratus berbanding 4.4 peratus pada 2023. Deposit Akaun Semasa dan Simpanan (CASA) berkembang pada kadar lebih perlahan sebanyak 8.5 peratus berbanding 10.0 peratus pada 2023," katanya.

Sementara itu, akaun pelaburan pelanggan (IA) berkembang sebanyak 17.5 peratus pada 2024, hampir dua kali ganda berbanding dengan pertumbuhan 9.4 peratus pada 2023.

RAM Ratings berkata bahawa IA merangkumi lapan peratus daripada jumlah pembiayaan industri perbankan Islam pada penghujung 2024 berbanding tujuh peratus pada tempoh yang sama tahun lepas.

"IA terus menjadi sumber pembiayaan yang menarik bagi beberapa bank kerana aset yang dibiayai oleh IA tidak dikenakan caj modal," katanya.

Agensi penarafan itu berkata kebanyakan bank Islam mencatatkan margin yang lebih baik pada 2024, berbeza dengan sektor perbankan secara keseluruhannya, terutamanya disebabkan oleh nisbah pembiayaan kepada deposit yang lebih tinggi, persaingan deposit yang lebih rendah, strategi penetapan harga yang berdisiplin dan usaha yang disasarkan untuk meningkatkan deposit CASA.

Ia berkata margin pembiayaan bersih industri perbankan Islam meningkat pada 1.93 peratus tahunan untuk sembilan bulan pertama 2024 (9M 2024), berbanding 1.84 peratus tahunan pada 9M 2023.

"Ini, ditambah dengan peningkatan pendapatan bukan pembiayaan dan pertumbuhan pembiayaan yang sihat, mendorong pulangan sebelum cukai ke atas aset berwajaran risiko industri kepada 2.22 peratus tahunan daripada 2.12 peratus tahunan pada 9M 2023.

“Kami menjangkakan pertumbuhan keuntungan sederhana bagi bank-bank Islam pada 2025 apabila pendapatan dagangan dan pelaburan kembali normal,” katanya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, RAM Ratings berkata pembiayaan Islam terus mengatasi pertumbuhan pinjaman perbankan konvensional, menyumbang purata 72 peratus kepada pertumbuhan pinjaman dalam lima tahun kebelakangan ini.

Ia berkata pembiayaan Islam mencatatkan pertumbuhan pinjaman sebanyak 8.1 peratus pada 2024 berbanding 3.7 peratus untuk perbankan konvensional.

"Penyelarasan semula subsidi pada separuh kedua 2025 dan ketidaktentuan global mungkin memberi cabaran kepada permintaan kredit, tetapi kami kekal optimis bahawa pertumbuhan pembiayaan akan kekal sihat, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan pelaburan yang berterusan," katanya.

Dari segi kualiti aset, RAM Ratings berkata bahawa nisbah pembiayaan terjejas kasar (GIF) industri perbankan Islam menurun kepada 1.3 peratus pada penghujung 2024 berbanding 1.5 peratus sebelumnya, ekoran pertumbuhan pembiayaan yang pesat, bersama dengan pelupusan dan pemulihan.

Nisbah kos kredit purata, walaupun meningkat sedikit kepada 27 mata asas (bps) tahunan pada 9M 2024, berbanding 21 bps sebelumnya, masih dianggap kukuh manakala liputan GIF (termasuk rizab regulatori) sedikit meningkat kepada 122 peratus pada penghujung September 2024 berbanding 119 peratus pada penghujung Disember 2023.

“Kami menjangka kualiti aset bank Islam akan kekal kukuh pada 2025, disokong oleh taja jamin yang berhati-hati dan pasaran buruh yang kuat, yang sepatutnya membantu meredakan sebarang impak negatif daripada rasionalisasi subsidi.

"Nisbah modal Tier-1 ekuiti biasa yang kukuh sebanyak 14.0 peratus pada penghujung 2024 juga menyediakan penampan yang kukuh terhadap kemungkinan kemerosotan kredit," kata agensi penarafan kredit itu.

Bermula 1 Jan, 2025, dasar yang dipinda oleh Bank Negara Malaysia mengenai sistem perbankan Islam (IBW) akan memerlukan keperluan kehematan khusus bagi memastikan ketahanan kewangan IBW untuk menyokong aktiviti kewangan Islam secara bebas daripada fungsi perbankan konvensional dan memperluaskan skopnya untuk merangkumi institusi kewangan pembangunan, bank komersial dan bank pelaburan.

"Walaupun IBW hanya merangkumi kira-kira dua peratus daripada jumlah aset industri perbankan Islam pada penghujung 2024, kami melihat penambahbaikan dasar ini secara positif, memastikan kesesuaian IBW yang berterusan dalam persekitaran operasi semasa dan meningkatkan ketahanan sektor kewangan Islam Malaysia," kata RAM Ratings.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan