KUANTAN, 26 Mac (Bernama) -- Di saat kebanyakan keluarga sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri, suasana di kediaman Nik Amran di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Kempadang, Kuantan, jauh berbeza.
"Kami nak beli baju baharu dua tahun sekali pun payah. Apa yang ada, itu yang kami pakai dan makan setiap kali raya," kata Nik Amran Nik Soh, 60, atau lebih mesra disapa Pak Nik.
Sebagai warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU), menyediakan kelengkapan raya buat keluarganya bukan tugas yang mudah.
Menanggung enam daripada 14 anak yang masih belajar menjadi cabaran besar, lebih-lebih lagi selepas kesihatannya merosot akibat penyakit tiga serangkai – diabetes, darah tinggi, dan kolesterol tinggi.
"Dulu saya buat kerja kampung, tapi bila umur masuk 60 tahun dan kesihatan tak mengizinkan, makin susah nak cari rezeki," katanya yang kini bertongkat akibat masalah pergerakan pada kaki kanan.
Pak Nik berkata isterinya, Manis Mat Din, 41, hanya bekerja apabila dipanggil untuk membantu peniaga, namun pendapatannya tidak menentu, sekadar puluhan ringgit sehari.
Dalam keadaan kewangan yang terhad, Pak Nik lebih mengutamakan keperluan anak-anak berbanding persiapan lebaran yang hanya dibuat seadanya.
Namun beliau bersyukur kerana ada pihak yang tampil membantu, termasuk kerajaan pusat dan negeri, pertubuhan bukan kerajaan serta individu.
“Saya lega bila dua anak yang di sekolah rendah dan dua di sekolah menengah dapat Bantuan Awal Persekolahan (BAP), dapatlah buat persiapan yang cukup semasa sesi persekolahan bermula,” katanya.
Lebih menggembirakan beliau apabila dimaklumkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga disalurkan sempena Aidilfitri yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban.
"Kami keluarga besar, ramai anak. Jadi biarlah anak-anak kecil ini dapat baju baharu supaya mereka rasa gembira menyambut raya. Kita yang dewasa ini tak apa," katanya tersenyum.
Pembayaran STR Fasa 2 bermula Isnin lepas melibatkan peruntukan RM1.7 bilion, memberi manfaat kepada hampir sembilan juta penerima dengan bantuan sehingga RM650, bergantung kepada kategori kelayakan masing-masing.
Tahun ini kerajaan meningkatkan peruntukan STR dan Sumbangan Tunai Rahman (SARA) sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion. Ini mencerminkan keberhasilan kerangka Ekonomi MADANI dalam mengoptimumkan penjimatan dan menyalurkan tambahan peruntukan sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam menaikkan lantai ekonomi rakyat.
Ikhtiar menaikkan lantai bertujuan memperkasa golongan rentan, meningkatkan akses kepada pendidikan dan kesihatan serta mewujudkan peluang pendapatan bagi mengurangkan ketidaksamaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Sementara itu berkongsi mengenai juadah raya, Pak Nik berkata keluarganya lazimnya akan bertukar juadah dengan jiran-jiran.
“Dapatlah merasa pelbagai jenis makanan. Sebelum ini, kami rebus nasi impit yang orang bagi dan masak lontong ," katanya yang bersyukur masih dapat meraikan Syawal bersama anak-anak walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
-- BERNAMA