BERITA TERGEMPAR | Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 rakam ucapan takziah kepada Myanmar, Thailand dan rakyatnya susulan gempa bumi yang melanda rantau ini pada Jumaat | Malaysia as ASEAN Chair 2025 extends deepest condolences to Myanmar, Thailand and their people following the deadly quake that hit the region on Friday | |
KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengeluarkan versi yang disemak semula garis panduan mengenai pengiklanan untuk produk pasaran modal dan perkhidmatan yang berkaitan, berkuatkuasa menjelang 1 November 2025.
SC berkata garis panduan itu telah disemak semula untuk mengemas kini keperluan serta panduan tertentu, dengan mengambil kira pengiklanan dan trend promosi secara global dan domestik termasuk kemunculan media sosial serta pempengaruh kewangan yang semakin meningkat. Ini bagi memastikan aktiviti pengiklanan yang bertanggungjawab dalam produk dan perkhidmatan pasaran modal.
SC berkata rangka kerja yang disemak semula itu akan merangkumi keperluan baharu yang berkaitan dengan pempengaruh kewangan yang tidak terlibat sebagai ejen pemasaran oleh pengiklan, namun atas kerelaan mereka sendiri, menjalankan aktiviti pengiklanan untuk sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal. "Mereka akan tertakluk kepada keperluan di bawah Garis Panduan kerana dalam konteks garis panduan, mereka akan dianggap sebagai pengiklan," katanya.
Ia menambah bahawa akan ada peningkatan keperluan yang berkaitan dengan kewajipan pengiklan untuk memastikan aktiviti pengiklanan yang dijalankan oleh ejen pemasaran mereka mematuhi garis panduan. "Pengiklan sebaliknya akan bertanggungjawab terhadap kelakuan ejen pemasaran mereka."
Di samping itu, SC berkata terdapat peningkatan keperluan yang berkaitan dengan penggunaan media sosial bagi menangani penggunaannya yang semakin meluas untuk promosi kewangan. Garis panduan ini juga akan melarang perkhidmatan pengiklanan di Malaysia oleh orang yang tidak diberi kuasa oleh SC.
"Garis panduan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SC untuk mempromosikan pengiklanan yang bertanggungjawab di saluran pengiklanan baharu seperti media sosial, bertujuan melindungi pelabur," katanya.
Dalam menyemak dan merangka garis panduan tersebut, SC telah, antara lain, menanda aras dengan bidang kuasa seperti Australia, United Kingdom dan Singapura. SC juga telah mempertimbangkan maklum balas yang diterima daripada penglibatan dengan pihak berkepentingan berkaitan, termasuk pempengaruh kewangan.
-- BERNAMA