Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 30 Mac (Bernama) -- Mufti Singapura Dr Nazirudin Mohd Nasir mengumumkan bahawa umat Islam di Singapura akan menyambut Aidilfitri pada Isnin (31 Mac).
Beliau membuat pengumuman itu menerusi satu klip video yang dimuat naik di laman sosial Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada Ahad.
“Mengikut kiraan hisab, berdasarkan kiraan imkanur rukyah yang dipersetujui oleh negara-negara anggota MABIMS (Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura) anak bulan Syawal berada di atas ufuk Singapura selama 48 minit setelah matahari terbenam petang tadi.
“Oleh yang demikian, sukacita saya mengisytiharkan bahawa awal bulan Syawal pada tahun 1446H jatuh pada esok, hari Isnin bersamaan 31 Mac 2025,” katanya.
Beliau turut berharap umat Islam dianugerahkan keberkatan dan kemenangan hasil dari segala amal ibadah dan kebajikan yang telah diusahakan mereka sepanjang Ramadan lalu.
-- BERNAMA