AM

GARIS PANDUAN BAHARU MYIPO PERKUKUH HAK PENGGUNA DAN PENGGIAT SENI

27/03/2025 09:24 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Pengguna karya hak cipta dan penggiat seni industri kreatif khususnya muzik menyambut baik pengenalan Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2025 yang dikeluarkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

MyIPO dalam kenyataan memaklumkan garis panduan itu, yang akan berkuat kuasa pada 16 Jan 2026, diyakini dapat memperkukuh perlindungan hak cipta serta memastikan organisasi pengurusan kolektif (CMO) beroperasi dengan lebih telus, cekap dan adil.

"Pengenalan garis panduan ini merupakan lembaran baharu bagi industri hak cipta Malaysia, mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa ekosistem hak cipta serta memastikan pemantauan yang lebih jelas terhadap CMO.

"Dengan garis panduan ini, industri kreatif negara dijangka lebih tersusun, memberikan manfaat bukan sahaja kepada pengguna karya hak cipta dan penggiat seni tetapi juga CMO dalam menjalankan tanggungjawab mereka secara lebih berkesan," katanya.

Menurut MyIPO, garis panduan itu telah dirangka secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk CMO, pengguna karya hak cipta, penggiat seni serta pihak kementerian dan pendekatan ini bagi memastikan dokumen berkenaan bersifat adil, tidak menyebelahi mana-mana pihak selain mampu memenuhi keperluan industri dalam jangka panjang.

Kenyataan itu menyebut pengenalan garis panduan ini juga adalah satu langkah proaktif susulan pindaan Akta Hak Cipta 1987, berkuat kuasa pada 18 Mac 2022, yang memberi kuasa kepada Pengawal Hak Cipta untuk menggubal dan menguatkuasakan garis panduan bagi memastikan tadbir urus CMO lebih tersusun dan efektif.

Menurut MyIPO, sebagai sebahagian daripada usaha memastikan pematuhan yang berkesan, MyIPO akan melaksanakan program advokasi sepanjang tahun ini bagi meningkatkan pemahaman serta kesedaran mengenai garis panduan itu dalam kalangan CMO, pengguna karya hak cipta dan penggiat seni.

"Garis panduan ini merupakan satu langkah penting dalam memperkasakan industri hak cipta di Malaysia sejajar dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

"Dengan pelaksanaannya, Malaysia dijangka dapat mewujudkan ekosistem hak cipta yang lebih mampan, seimbang dan memberi manfaat kepada semua pihak dalam industri kreatif," katanya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan