AM

23 KES AKIBAT MERCUN DIREKODKAN DI KELANTAN - JKNK

27/03/2025 06:11 PM

KOTA BHARU, 27 Mac (Bernama) -- Sebanyak 23 kes akibat mercun direkodkan setakat semalam oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) membabitkan mangsa berusia 15 tahun ke bawah, kata Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 13 mangsa dimasukkan ke wad dan selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Hospital Jeli mencatatkan lima kes, diikuti Hospital Tanah Merah, Hospital Pasir Mas dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu masing-masing tiga kes.

"Dua kes akibat mercun pula dilaporkan di Hospital Bachok, Hospital Tengku Anis Pasir Puteh, Hospital Machang dan Hospital Gua Musang manakala satu kes di Hospital Tumpat," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata kes terbaharu diterima pihaknya membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang tangan kiri hancur selain luka pada bahagian muka akibat letupan mercun di Tumpat semalam.

"Kejadian berlaku lebih kurang 3.30 petang apabila mangsa dikatakan bermain mercun yang diubah suai bersama dua rakan lain," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan