AM

BERAYA DI SEBALIK TIRAI BESI BERI SERIBU KEINSAFAN

30/03/2025 05:08 PM

SEREMBAN, 30 Mac (Bernama) -- Tatkala umat Islam seluruh negara berkumpul bersama keluarga tercinta bagi menyambut Aidilfitri, lain pula kisahnya bagi mereka yang terpaksa meraikan hari mulia itu di sebalik tirai besi.

Berjauhan daripada keluarga dan tidak dapat bersama insan tersayang terutama ketika membuat persiapan raya antara perkara pahit yang harus ditelan mereka yang menjalani hukuman atas kesalahan dilakukan.

Bekas juru kimpal, Azman, 42, yang kini menjalani hukuman di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin, turut tidak terkecuali merasai kepedihan itu lebih-lebih lagi sudah tiga tahun Aidilfitri diraikan tanpa kehadiran keluarga di sisi.

“Sejak menjalani hukuman, saya tidak lagi dapat jalankan tanggungjawab kepada keluarga. Kalau dulu setiap kali menjelang Aidilfitri saya akan membawa anak, isteri dan orang tua keluar beli baju raya, tetapi kini tidak lagi.

“Sedih memang sedih, tetapi apa nak buat. Kenalah terima (jalani hukuman) atas kesilapan sendiri. Kini saya betul-betul menyesal, Aidilfitiri juga sebagai tempoh saya muhasabah diri,” katanya ketika ditemui Bernama di PRP Mantin di sini.

Mengimbau detik hitam hidupnya, Azman yang ditahan pada 16 Mac 2023 di kampung halamannya di Kemaman, Terengganu dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan atas kesalahan mengedar dadah sebelum hukumannya diringankan kepada tiga tahun empat bulan.

Azman berkata antara perkara yang dirindui setiap kali menjelang Aidilfitri adalah nasi himpit dan kuah kacang masakan ibunya serta nasi tomato isteri tercinta.

“Air tangan ibu sedap, lain daripada yang lain. Itulah yang paling dirindui. Kalau dulu dapat sama-sama tolong memasak, kemas rumah bila nak raya. Berbaki setahun lagi sebelum dibebaskan, saya harap dapat memperbaiki kesilapan dan mulakan hidup baharu selepas ini,” katanya.

Seorang lagi penghuni PRP hanya dikenali Wak, 40, yang berasal dari Timur Tengah Jawa, Indonesia turut melahirkan perasaan sedih apabila tidak dapat beraya bersama keluarga buat kali pertama tahun ini.

Wak ditahan pada tahun lepas akibat memiliki dadah serta tiada dokumen perjalanan yang sah dan dijatuhkan hukuman selama dua tahun di Penjara Jelebu.

“Paling menyedihkan keluarga tidak tahu saya ditahan. Anak isteri semua tidak tahu. Kalau dulu hujung Ramadan saya akan pulang ke kampung, beli baju raya untuk dua anak saya, tetapi tahun ini saya tidak pulang,” katanya, yang tinggal di Kuala Lumpur lebih lima tahun. 

Dia turut berkongsi kerinduan mengenai hidangan raya yang sering dinanti dan disajikan keluarga antaranya lontong daun pisang dan nasi lauk daging atau lebih dikenali abun daging.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan