AM

TIGA ACARA UTAMA DIGABUNGKAN JADI KARNIVAL MEGA TAHUN INI - AHMAD ZAHID

09/04/2025 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Penganjuran Karnival Usahawan Desa (KUD), Hari Peneroka FELDA dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) bakal digabungkan menjadi satu acara mega tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata keputusan dibuat pada mesyuarat koordinasi pelaksanaan ketiga-tiga karnival berkenaan yang dipengerusikan oleh beliau hari ini.

Beliau berkata tarikh penganjuran karnival mega itu akan dimaklumkan dalam waktu terdekat.

“Pada tahun-tahun sebelumnya, KUD, HPF dan SDSI telah dianjurkan dan menjadi acara tahunan yang sering dinanti-nantikan oleh masyarakat terutamanya bagi pemegang taruh dan pihak berkepentingan mengikut matlamat penganjuran masing-masing.

“Insya-Allah, melalui mesyuarat yang telah berlangsung pada hari ini, ketiga-tiga karnival ini bakal digabungkan untuk menjadi satu acara mega yang lebih meriah dan mampu memberikan impak lebih tinggi berbanding penganjuran secara berasingan sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook.

KUD menyediakan peluang dan platform kepada usahawan tempatan untuk mempamerkan produk mereka, HPF pula menekankan sumbangan peneroka FELDA manakala SDSI mempromosikan industri dari pelbagai daerah.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan