AM

JBPM SASAR 18,000 INAP DESA DIPERIKSA SEMPENA TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026

15/04/2025 04:00 PM

MELAKA, 15 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan 18,000 premis rumah inap diperiksa sempena Tahun Melawat Malaysia (VM2026), kata Ketua Pengarahnya Datuk Nor Hisham Mohammad.

Beliau berkata langkah itu sebagai usaha memastikan pemilik inap desa mematuhi serta memahami prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ditetapkan. 

"Tahun lepas kita telah menyasarkan 17,000 premis inap desa diperiksa namun telah melebihi sasaran apabila 19,300 inap desa direkodkan telah diperiksa," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024, Sijil Perkhidmatan Terpuji PBB dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun Jabatan Bomba dan Penyelamatan Malaysia Negeri Melaka di sini hari ini. 

Nor Hisham berkata JBPM akan mengadakan pertemuan dengan pemilik inap desa bagi memberi penerangan berkaitan aspek keselamatan yang perlu diberikan perhatian seperti mana yang ditetapkan dalam garis panduan sebelum melakukan pemeriksaan. 

“Ia juga bagi mengelakkan pemilik inap desa daripada ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab yang memaksa mereka membeli peralatan pencegahan kebakaran sedangkan jika ikut perundangan, mereka tidak disyaratkan sedemikan.

“Tetapi sebagai pemilik inap desa, paling asas mereka perlulah ada alat pemadam api," katanya. 

Beliau berkata trend pembaharuan alat pemadam api juga dilihat semakin meningkat apabila sebanyak satu juta unit terjual pada tahun lepas, susulan pembayaran untuk pemeriksaan alat berkenaan yang munasabah serta tahap kesedaran dalam kalangan pemilik inap desa meningkat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan