KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Petronas Gas Bhd (PGB) menjangkakan pemulihan bekalan gas di Putra Heights, Subang Jaya boleh dilakukan seawal 1 Julai, 2025, tertakluk kepada hasil siasatan berterusan, kelulusan kawal selia dan kemajuan sebenar di tapak.
PGB menjelaskan pihaknya turut bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa, pembeli gas dan pengedar gas untuk menyambung semula perkhidmatan saluran paip di kawasan yang terjejas.
“Hasilnya, kapasiti bekalan gas dari utara ke sektor utara, Bestari Jaya, Meru dan Kapar telah meningkat, dengan bekalan tambahan daripada sistem saluran paip gas Trans Thailand-Malaysia,” tambahnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
PGB mengesahkan lagi komitmen untuk menyokong komuniti yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran gas yang berlaku pada 1 April, 2025 di Putra Heights.
PGB juga menjelaskan keutamaan teratas pihaknya kekal meliputi keselamatan dan kesejahteraan komuniti yang terjejas, di samping memastikan akses berterusan kepada bekalan gas.
“PGB bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta Polis Diraja Malaysia, dalam siasatan kejadian itu bagi memudahkan kerja-kerja pembetulan dan pembaikan pada saluran paip.
“Ini termasuk cerucuk kepingan untuk penstabilan tanah, pengurusan pergerakan air dan penggalian saluran paip,” katanya.
Sementara itu, PGB memaklumkan Serdang City Gate telah beroperasi semula, menjadikan akses bekalan yang lebih stabil ke kawasan Lembah Klang.
“PGB akan terus bekerjasama dengan pihak kawal selia serta pihak berkuasa yang berkaitan untuk menstabilkan lagi akses kepada bekalan gas semasa, di samping melakukan usaha pemulihan dengan selamat dan membantu siasatan,” tambahnya.
-- BERNAMA