AM

ISU KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS DIJANGKA DIBAHAS PADA SIDANG DUN SELANGOR JULAI INI

15/04/2025 04:43 PM

SHAH ALAM, 15 April (Bernama) -- Insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights dan aspek keselamatan zon penampan merupakan antara perkara yang dijangka dibahaskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Julai ini.

Speaker DUN Selangor Lau Weng San berkata pihaknya menjangkakan banyak soalan berkaitan jarak selamat bagi pembangunan infrastruktur di kawasan berisiko yang memerlukan penjelasan terperinci dan teknikal oleh exco bertanggungjawab terhadap Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

“Kerajaan tidak akan membuat rumusan awal berhubung insiden itu kerana ia masih dalam siasatan yang kita yakin, pihak eksekutif akan menyelesaikan segera urusan berkenaan.

“Dalam masa yang sama, pihak legislatif akan membincangkan isu berkenaan di dalam Sidang DUN Julai nanti,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Lau berkata kerajaan negeri akan menggunakan peluang berkenaan untuk mewujudkan polisi baharu bagi mengelakkan kejadian kebakaran serupa berulang pada masa akan datang.

“Saya harap akan ada perbahasan yang baik daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) khususnya berhubung langkah menetapkan laluan serta kawasan penampan lebih selamat dalam konteks infrastruktur industri,” katanya.

Pada 1 April lepas, negara digemparkan dengan kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights yang mengakibatkan api menjulang setinggi 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius sehingga menjejaskan 219 rumah di kawasan sekitar.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan