AM

KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS: TAKLIMAT PEMBINAAN SEMULA RUMAH DIADAKAN DUA MINGGU LAGI

18/04/2025 05:41 PM

SHAH ALAM, 18 April (Bernama) -- Taklimat berhubung pembinaan semula rumah yang terjejas dalam insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas, kepada mangsa yang terlibat dijangka diadakan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ketika ini pihaknya menumpukan sepenuh usaha dan tenaga untuk menyelesaikan pemberian rumah sewa kepada mangsa terlebih dahulu sebelum perkara berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik. 

"Perkara ini melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan yang besar, jadi kita sedang tunggu komitmen itu tetapi pada peringkat awal kita telah berbincang dan saya sendiri sudah bertemu dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengenai hal ini," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ehsan Raya Meriah Lain Macam Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Wisma PKPS di sini hari ini. 

Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan inisiatif pemulihan dan pembinaan semula rumah yang terjejas akibat insiden itu dijadikan sebagai antara fokus utama kementerian. 

Menurut kenyataan itu, KPKT telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas terdiri daripada agensi di bawah kementerian tersebut, khususnya agensi pelaksana seperti Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan PR1MA. 

Mengulas dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan Dr Afif Bahardin yang meluahkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan negeri tidak mengundang ADUN pembangkang menghadiri sesi Taklimat Khas Insiden Letupan Paip Gas Putra Heights baru-baru ini, Amirudin berkata ia hanyalah tanggapan kosong. 

Amirudin menjelaskan taklimat tersebut diadakan atas permintaan daripada ADUN daripada blok kerajaan dan blok pembangkang masih boleh mendapatkan maklumat berhubung insiden berkenaan di laman sesawang khas yang disediakan. 

"Taklimat itu ditumpukan kepada sokongan dan bantuan yang disalurkan kepada mangsa, sejauh mana kita dah bantu, dan semua ini ada di laman sesawang yang disediakan, siasatan masih dijalankan oleh bahagian teknikal dan sebagainya," katanya. 

Kebakaran pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan