SIBU, 21 April (Bernama) -- Rimbunan Hijau Group (RH Group) meraikan ulang tahunnya ke-50 penubuhannya tahun ini, yang memperlihatkan transformasi hebatnya - bermula dengan sederhana di bandar ini, dan kini bertukar menjadi sebuah konglomerat global dengan pelbagai usaha niaga di seluruh rantau dunia, kata Pengarah Urusannya Datuk Tiong Thai King.
Beliau meletakkan kecemerlangan syarikat itu atas kegigihan, visi dan kepimpinan abangnya Tan Sri Tiong Hiew King, yang meletakkan asas penting bagi meraih kejayaan yang berterusan.
“Sejak lima dekad yang lepas, berkat doa orang ramai dan keredaan tuhan, RH Group berkembang mencorakkan kejayaan negara, dan kini berdiri teguh dalam urusan perniagaan, menjadi antara pemain penting di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata pencapaian hebat syarikat itu juga adalah disebabkan perpaduan dan daya tahan syarikat dalam mengharungi cabaran, dan menyatakan bahawa pencapaian ini bukan hanya menjadi miliknya semata-mata, tetapi juga menjadi milik setiap pekerjanya di seluruh dunia yang telah banyak menyumbang sepanjang perjalanannya.
Bagi meraikan sambutan Jubli Emasnya, beliau berkata RH Group telah merancang beberapa program, dengan acara kemuncaknya ialah sambutan “Night of Gratitude and Celebration” pada 12 Mei ini di Dataran Tun Tuanku Bujang.
Tiong berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof telah dijemput untuk menjadi tetamu pada majlis malam itu, yang akan menampilkan persembahan oleh 330 dron, pertunjukan bunga api muzikal selama 12 minit, dan persembahan pentas oleh penyanyi popular Shila Amzah.
Beliau turut mengumumkan pelancaran "Peraduan Fotografi dan Videografi Pertunjukan Jubli Emas RH Group dan Pertunjukan Bunga Api Muzik Pyro 2025" yang bertujuan untuk memupuk kreativiti dan penglibatan orang ramai.
Beliau berkata pada 13 Mei pula, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan merasmikan pembukaan laman baharu yang diubah suai di persekitaran Menara Rimbunan Hijau pada 10 pagi, manakala lewat petangnya Abang Johari akan turut diraikan dengan Majlis Makan Malam Gala Jubli Emas di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Sarawak di sini.
Terdahulu Kejohanan Golf Sambutan Jubli Emas dijadualkan berlangsung pada 10 dan 12 Mei, dan dengan sokongan badan korporat daripada enam penaja, ia menawarkan hadiah lumayan berupa RM2.6 juta bagi pukulan hole-in-one.
Larian Separa Marathon Jubli Emas RH pula dijadualkan berlangsung pada 4 Mei, menarik penyertaan 3,044 pelari tempatan dan antarabangsa.
-- BERNAMA