KUCHING, 28 April (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menganjurkan program latihan teknologi kecerdasan buatan (AI) bertajuk AI For Journalism: Transcription & Smart Tools di sini selama dua hari bermula hari ini.
Program yang diadakan di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) itu melibatkan penyertaan 30 pengamal media dari pelbagai agensi di Sarawak.
Tenaga pengajar Muhammad Hafiz Abdul Majid berkata matlamat program itu antara lain untuk mempercepat proses transkripsi serta semakan fakta menggunakan teknologi AI.
“Kita faham antara tugas wartawan ini adalah transkripsi audio atau video daripada ucapan dan juga sidang media selain menyemak ketepatan (cross-check accuracy) mengenai fakta tertentu.
“Melalui latihan ini kita ajar bagaimana untuk gunakan AI bagi selesaikan masalah mereka, jika sebelum ini kita memerlukan waktu yang lama sehingga satu jam untuk melakukan transkripsi, sekarang ini melalui AI kita boleh buat dalam 10 atau lima minit sahaja,” katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, Muhammad Hafiz berkata setiap organisasi media perlu melatih petugas mereka agar mampu bersaing dalam dunia teknologi yang berubah dengan pantas setiap hari.
“Semasa teknologi AI mula diperkenalkan ramai yang kata AI akan mengambil tugas manusia tetapi saya tidak setuju kerana jika AI digunakan dengan betul kita akan bertambah baik termasuk dari segi produktiviti,” katanya.
Pusat Kecemerlangan Bernama merupakan penyelaras kursus AI untuk media di bawah peruntukan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Program latihan sama akan diadakan di Sabah pada 6 dan 7 Mei depan.
-- BERNAMA