PUTRAJAYA, 2 Mei (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) komited untuk terus meneraju pembangunan sawit negara ke arah industri yang lebih pintar, mampan dan berdaya saing, selaras dengan agenda nasional memperkasa ekonomi hijau serta pendigitalan.
Pengerusinya Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata pelbagai inisiatif strategik sedang dan akan dilaksanakan MPOB bagi memperkukuh ekosistem industri sawit termasuk pembangunan biodiesel sawit sebagai tenaga alternatif mesra alam dan penghasilan produk oleokimia berasaskan sawit yang menepati piawaian hijau serta permintaan pasaran global.
“Melangkah ke hadapan, MPOB akan terus memperkukuh iltizam untuk mendukung aspirasi negara dengan membangunkan ekosistem sawit yang lebih inklusif, mampan dan kompetitif,” katanya menerusi ucapan pada majlis Malam Gala Jubli Perak MPOB, yang diadakan, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Setiausaha KPK Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Teknologi dan Inovasi Pacu Industri
Mohamad Helmy berkata sejak penubuhannya pada 1 Mei 2000, MPOB telah berperanan sebagai agensi utama yang menjadi teras kepada pembangunan industri sawit negara, berasaskan sains, teknologi dan inovasi.
Menurutnya, dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB berjaya mengkomersialkan lebih 200 teknologi berimpak tinggi meliputi sektor huluan hingga hiliran termasuk bioteknologi, pengilangan, biojisim, biodisel, oleokimia dan formulasi produk makanan.
“Inovasi ini telah menjana nilai pasaran melebihi RM5.9 bilion dan melonjakkan kualiti, produktiviti serta nilai tambah industri sawit negara,” katanya.
Antara pencapaian utamanya adalah penghasilan bahan tanaman unggul Palm Series (PS 1.1) dan Clonal Palm Series (CPS), mesin penuai buah sawit seperti Cantas™ dan Cantaz™ Elektro serta produk biopestisid mesra alam Walbac yang berkesan mengawal serangan ulat bungkus di ladang sawit.
MPOB juga meneroka potensi produk pemakanan dan kesihatan seperti tokotrienol (vitamin E sawit) dan minyak sawit merah, serta produk oleokimia bernilai tinggi yang kini menembusi pasaran antarabangsa termasuk Amerika Syarikat dan China.
Dari segi perluasan pasaran, beliau berkata MPOB bekerjasama erat dengan Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–Turkiye (MTFTA), ASEAN–India FTA dan Perjanjian Perdagangan Komprehensif Ekonomi Malaysia–India (MICECA).
“Hubungan dagang dan diplomatik yang kukuh ini menjadi asas kepada pertumbuhan eksport dan daya tahan industri sawit negara,” katanya.
Pekebun Kecil Nadi Industri Sawit
Sempena sambutan 25 tahun MPOB, Mohamad Helmy berkata sudah tiba masanya untuk memberi penghargaan kepada penggiat industri terutama pekebun kecil yang menjadi nadi kepada industri sawit negara.
“Setakat ini, lebih 219,000 pekebun kecil sawit persendirian berlesen dengan MPOB, mengusahakan lebih 829,000 hektar kebun sawit di seluruh negara. Mereka bukan sahaja pengeluar, tetapi juga pemangkin utama kemakmuran industri ini,” katanya.
Menurutnya, MPOB terus memperkasa sektor pekebun kecil menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk khidmat nasihat penanaman sawit, skim insentif dan bantuan seperti Skim Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS), penubuhan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) serta Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) bagi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
“MPOB akan terus memacu usaha ke arah pembangunan komuniti sawit yang inklusif dan lestari,” katanya.
Beliau berkata sepanjang dua dekad setengah penubuhannya, MPOB telah memainkan peranan penting memperkukuh industri sawit negara dan pada masa sama, mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
“Pelbagai program telah dirangka bagi menyemarakkan sambutan Jubli Perak MPOB, dan harapan kita bersama agar industri sawit terus menjadi lambang kekuatan dan kemampanan Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Antaranya adalah penghargaan kepada rakan strategik, tokoh industri, tokoh MPOB, tokoh pekebun kecil MPOB , ikon MPOB dan rakan media,” katanya.
-- BERNAMA