AM

KONVOKESYEN UMS TIDAK JEJASKAN PROSES PRN SABAH - AHMAD ZAHID

17/10/2025 07:02 PM

SHAH ALAM, 17 Okt (Bernama) -- Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-27 pada 29 Nov ini tidak akan menjejaskan proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang berlangsung pada hari sama, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengambil kira semua aspek secara menyeluruh sebelum membuat ketetapan, termasuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula pada 3 Nov.

‎ ‎"Kemungkinan SPR sudah membuat persiapan dengan UMS … dewan UMS tidak digunakan untuk proses pengundian, ibu bapa yang datang (ke istiadat konvokesyen) pun bukan semua berasal dari Sabah sahaja.

‎‎"... mahasiswa UMS juga terdiri daripada pelajar seluruh Malaysia, dan saya tak nampak sebarang masalah timbul dalam hal ini," katanya ketika ditemui pemberita pada ASEAN Sports Industry Expo 2025 di sini hari ini. 

Untuk rekod, majlis Konvokesyen UMS ke-27 bagi graduan 2025 dijadualkan berlangsung dari 29 Nov hingga 2 Dis.

‎‎Mengulas mengenai penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2025, Ahmad Zahid berkata Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah berhubung dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk memaklumkan perkara berkenaan bagi mendapat kelulusan berdasarkan perlembagaan dan peraturan UMNO. ‎

‎"Ini kali kedua ditangguhkan yang sepatutnya pada bulan Ogos, kemudian pada 26 Nov, tetapi apabila PRN Sabah ditetapkan pada 29 Nov nanti, kita terpaksa pinda kepada bulan Januari tahun hadapan," katanya.

‎‎SPR menetapkan 15 Nov ini sebagai hari penamaan calon bagi PRN Sabah, diikuti pengundian awal dan hari mengundi, masing-masing pada 25 dan 29 Nov.

‎‎PRN Sabah ke-17 menyaksikan sebanyak 73 kerusi bakal dipertandingkan.

‎-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan