| BERITA TERGEMPAR | Air Force One carrying US President Trump has landed at KLIA at 9.54 am | |
KUANTAN, 25 Okt (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada pasangan Mejar Mohd Fikry Amri Abd Halim dan Sabrina Hakiem Zaini atas kelahiran cahaya mata kembar tiga.
Laman Facebook Kesultanan Pahang memaklumkan Tunku Azizah selaku Pengasas dan Pengerusi Seumur Hidup Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) dengan penuh keprihatinan menawarkan rawatan persenyawaan in vitro (IVF) percuma kepada pasangan berkenaan pada Januari lepas, yang kematian anak akibat kecuaian pengasuh di sebuah taman asuhan di Melaka.
“Tragedi berkenaan turut menarik perhatian dan simpati rakyat Malaysia terhadap pasangan ini yang kehilangan anak lelaki berusia lapan bulan selepas berusaha dan menanti cahaya mata selama 13 tahun,” menurut hantaran itu hari ini.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan rasa syukur dan gembira di atas kelahiran Maryam Al Lubna pada 9.40 pagi, Maryam Al Khawla (9.42 pagi) dan Maryam Al Arwaa (9.46 pagi) di Hospital Melaka semalam.
“Ketiga-tiga bayi berkenaan merupakan bayi ke-145, 146 dan 147 yang dilahirkan sejak TAFF ditubuhkan pada 2004,” menurut hantaran itu.
Baginda berdua turut mendoakan agar ketiga-ketiga bayi itu membesar dengan baik dan sihat serta sentiasa dilimpahi kasih sayang daripada ibu bapa serta insan di sekeliling mereka.
Untuk rekod, TAFF yang ditubuhkan atas inisiatif Tengku Ampuan Pahang sejak 21 tahun lepas telah menaja 553 pasangan suami isteri seluruh negara yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cahaya mata.
-- BERNAMA
