KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan hanya memfailkan rayuan terhadap alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung isu pemberian khas 40 peratus hasil Sabah dan bukannya keputusan mengenai tuntutan hak berkenaan.
Anwar berkata ini kerana wujud kekhilafan dalam alasan penghakiman seperti menyalahkan kepimpinan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah terdahulu dalam membuat keputusan berkaitan isu terbabit.
"Hakim tegur semua... Semua salah. (Bekas Perdana Menteri) Tun Razak salah, Tun Hussein Onn salah... Kerajaan Persekutuan, semua Perdana Menteri salah. Di sini (Sabah) kerajaan negeri - Tun Mustapha salah, Donald Stephens salah.. Semua salah. Jadi, saya kata tak bolehlah.
"Saya anak Malaysia. Saya tidak mahu salahkan bapa-bapa yang telah berjasa. Sabah ini merdeka bersama Malaysia... jasa Donald Stephens, Tun Mustapha. Itu jasa mereka, hormatlah mereka. Jangan kata mereka salah. Jadi, kita nak rayu supaya Mahkamah Tinggi padam balik tuduhan.
"Generasi kita adalah orang yang kenang jasa. Donald Stephens pemimpin besar Sabah yang berjasa kepada negara ini. Tun Mustapha berjasa. Setuju tidak setuju soal lain," katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana PM Sayang Sabah Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam di pekan Inanam dekat sini malam ini.
Pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat Khamis lepas, Anwar berkata berdasarkan pemahaman Kerajaan Persekutuan, atas nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC), alasan penghakiman itu dibuat di luar bidang perundangan.
Alasan penghakiman itu, yang menyatakan bahawa kajian semula pemberian khas dibuat selepas 2021, adalah menyalahi undang-undang dan tidak rasional malah mengaitkan kesilapan besar oleh Kerajaan Persekutuan sejak 1974.
Hal itu menyebabkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Ahli Parlimen yang terlibat dalam kerajaan sejak 1974 hingga sekarang semuanya diputuskan sebagai terlanjur, tidak sah, tidak rasional, terdapat ketidakteraturan daripada segi prosedur dan mengabaikan tanggungjawab kepada Sabah.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata rundingan mengenai isu pemberian 40 peratus hasil Sabah akan diadakan Isnin ini.
Perdana Menteri turut menyatakan komitmen untuk memastikan Sabah menjadi negeri maju dan membangun kerana kejayaan itu berupaya mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara hebat.
Justeru, beliau berkata Kerajaan Persekutuan terus memberi fokus untuk menyelesaikan semua masalah pembangunan infrastruktur di Sabah seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya, selain isu-isu berkaitan hak tuntutan negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata kesungguhan Kerajaan MADANI dalam mengatasi masalah diwarisi sejak tiga tahun lepas itu dapat dilihat menerusi usaha mengembalikan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah, peruntukan RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik Sabah dan RM1 bilion untuk mengatasi isu air.
"Malaysia sudah maju tetapi ada kampung-kampung yang tidak ada elektrik, bekalan elektrik sekejap ada sekejap tiada. Saya selaku Menteri Kewangan meluluskan RM1.2 bilion. Kita juga bagi RM1 bilion untuk menyelesaikan masalah air Sabah dan ikut unjuran selesai pada 2026.
"Ini bukan pasal pilihan raya, kita sudah bagi," katanya.
Anwar turut menegaskan kerajaan Sabah perlu mempunyai hubungan kerjasama yang baik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan semua pelaksanaan projek pembangunan dapat dipercepat.
-- BERNAMA
