KOTA KINABALU, 16 Nov (Bernama) -- Kerajaan secara dasarnya bersetuju menambah bilangan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak mengambil kira jumlah pengundi di kedua-dua negeri terbabit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata setakat ini tiada komitmen untuk meningkatkan jumlah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak sehingga satu pertiga daripada keseluruhan kerusi, namun kerajaan komited untuk menambah bilangan kerusi mengikut keperluan.
Katanya penambahan kerusi itu juga antara perkara yang dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPM63).
“Saya maklumkan, sebagai dasar, kita perlu menambah bilangan kerusi. Tetapi jumlah sebenar kerusi adalah kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Ada komitmen untuk peningkatan. Saya telah minta peguam negeri Sabah dan Sarawak serta Peguam Negara untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya pada Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah bersama YAB Perdana Menteri di sini, hari ini.
Pada masa ini, Sabah dan Sarawak masing-masing memiliki 25 dan 31 kerusi Parlimen.
Pada 26 Sept lepas, ketika berucap dalam satu majlis di Tawau, Anwar mengulangi bahawa kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak akan ditambah.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri menyentuh kemajuan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah yang masih belum siap berbanding Sarawak, dan menekankan komitmen kerajaan untuk memastikan projek itu disiapkan melalui jawatankuasa yang betul serta proses tender yang telus.
“Saya dah dengar hampir 20 tahun mengenai Pan Borneo, tetapi di Sabah masih belum siap. Kalau nak subkontrak kepada syarikat Sabah, kita tetapkan syarat. Jika ada syarikat tempatan yang mampu, kita beri peluang,” katanya.
-- BERNAMA
