TENOM, 16 Nov (Bernama) -- Kerjasama erat antara parti tempatan dan nasional penting bagi memastikan kelangsungan pembangunan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Majlis Program Ramah Mesra Harapan Urang Sabah Bersama Masyarakat Melalap di Dewan Datuk OKK Sanggau di sini hari ini, Perdana Menteri berkata Sabah telah mencapai banyak kemajuan di bawah pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH).
"Saya setuju kita perlukan parti nasional dan parti tempatan, kerana kalau tiada kerjasama… tidak jalan (pembangunan), jangan sombong dan yang kita tolak adalah orang jahat dan mahu curi duit rakyat, malas kerja.
"Kalau dia baik dan bekerja kita sokong, tengok rekod dia. Kalau saya tidak buat apa-apa, masalah jalan dan air tidak akan selesai," kata beliau.
Turut hadir pada majlis itu, calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap Datuk Jamawi Jaafar.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata kemenangan PH dalam PRN Sabah ke-17 penting untuk memastikan kelangsungan kerjasama yang mantap antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
"PH bukan mahu rebut jawatan Ketua Menteri, kita bertanding kerana mahu kekalkan dasar dan mahu bekerjasama dengan negeri. Kita mahu bangunkan Sabah, ini yang penting.
"Kenapa kena sokong parti kerajaan? kerana banyak lagi masalah yang belum diselesaikan. Masih ada masalah air, jalan berlubang dan elektrik. Kita mahu ada hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan agar masalah ini dapat diselesaikan segera," kata beliau.
Pada PRN kali ini, Jamawi calon daripada PKR dan bertanding atas tiket PH berdepan saingan tujuh penjuru di DUN Melalap yang terletak dalam Parlimen Tenom, kira-kira 140 kilometer dari Kota Kinabalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRN Sabah pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
