LABUAN, 26 Nov (Bernama) -- Projek menaik taraf terminal feri jenis roll-on/roll-off (Ro-Ro) yang sekian lama dinantikan dijangka dimulakan tahun depan, kata Pengarah Jabatan Laut Labuan Alimuddin Amirudin.
Beliau berkata proses tender bagi projek bernilai RM22 juta itu telah selesai bulan lepas manakala proses penilaian serta pelantikan kontraktor yang layak kini pada peringkat akhir.
“Proses pemilihan sedang dimuktamadkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Sebaik sahaja kontraktor dilantik, beberapa dokumen dan kelulusan penting akan diproses segera,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Alimuddin berkata kerja-kerja naik taraf berkenaan meliputi penambahbaikan struktur, kemudahan penumpang, sistem pengurusan trafik lebih efisien serta lorong naik dan turun feri lebih selamat.
Beliau berkata pihaknya komited untuk memastikan pelaksanaan projek berkenaan mengikut jadual, sekali gus berharap terminal dinaik taraf itu akan meningkatkan kecekapan perjalanan serta menyokong aktiviti ekonomi Labuan.
Pada Mei 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM22 juta bagi menaik taraf Terminal Feri Ro-Ro Labuan sebagai usaha menangani masalah kesesakan serta meningkatkan kemudahan dan kecekapan operasi.
-- BERNAMA
