AM

BERNAMA, RTM PERLU KEKALKAN KREDIBILITI TERTINGGI DEMI KEPERCAYAAN RAKYAT

06/12/2025 03:45 PM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) perlu sentiasa memastikan tahap kredibiliti berada pada paras tertinggi bagi mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap media arus perdana, kata Ketua Pengarah RTM Datuk Suhaimi Sulaiman.

Bercakap kepada Bernama, Suhaimi berkata dalam era digital ketika ini, agensi media perlu sentiasa peka terhadap maklumat yang berlegar terutamanya di media sosial bagi memastikan setiap maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat.

“Kerja kita dalam dunia media ini adalah untuk memberikan yang sahih dan betul. Sekiranya kita disalah petik atau ada maklumat tidak tepat mengenai apa yang kita laporkan, kita perlu segera membetulkannya,” katanya selepas menjadi ahli panel forum bertajuk “Peranan Komunikasi Total Dalam Meningkatkan Produktiviti Perkhidmatan Awam”.

Forum yang turut disertai Ketua Pegawai Operasi Media Prima Bhd Datuk Mohd Efendi Omar itu merupakan antara Konvensyen Reformasi Perkhidmatan Awam Kebangsaan 2025, yang diadakan bersempena dengan Program Rancakkan MADANI di sini hari ini.

Suhaimi berkata usaha membetulkan maklumat tidak tepat perlu dilakukan secara berterusan kerana kredibiliti sesebuah jenama media terbina melalui konsistensi dalam menyampaikan kebenaran.

“Kalau perkara itu perlu dibuat berkali-kali, kita harus lakukannya kerana akhirnya orang akan kembali kepada jenama (agensi media) yang mempunyai kredibiliti,” katanya.

Mengulas peranan pasukan komunikasi kerajaan, Suhaimi berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi menangani penyebaran maklumat tidak tepat termasuk melalui jawatankuasa komunikasi strategik.

“Yang paling penting ialah kesedaran kita semua. Apabila nampak sesuatu yang tidak betul, kita perlu mengambil inisiatif sendiri untuk menyampaikan maklumat yang betul,” katanya.

Beliau berkata walaupun trend masyarakat kini cenderung mendapatkan berita melalui media sosial, tetap akan kembali merujuk kepada Bernama dan RTM sebagai sumber maklumat yang dipercayai.

“Apabila orang bertanya ‘betul ke’ dan datang kepada kita untuk pengesahan, ini membuktikan kredibiliti itu masih ada. Kita perlu bekerja keras supaya kredibiliti ini terus terpelihara,” katanya.

Terdahulu pada sesi forum, Mohd Efendi berkata komunikasi sektor awam bukan sekadar mekanisme penyampaian maklumat, sebaliknya membentuk ekosistem menyeluruh yang menghubungkan kerajaan, rakyat dan rakan strategik.

Beliau berkata dalam era digitalisasi ketika ini, mekanisme yang tepat amat penting bagi memastikan setiap maklumat dapat disampaikan dengan berkesan dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Mengulas konsep komunikasi total, beliau berkata tiga perkara utama perlu diberi perhatian iaitu mesej yang jelas, penggunaan bahasa yang mudah difahami serta penyampaian yang ringkas dan padat kepada semua lapisan masyarakat.

“Jika kita mahu mesej dapat menarik perhatian dan mudah difahami, kita perlu elakkan penggunaan bahasa yang terlalu teknikal. Bahasa yang digunakan juga perlu mengikut lenggok rakyat supaya lebih mudah difahami,” katanya.

Mohd Efendi berkata petugas media juga berperanan menterjemahkan bahasa dasar kepada bahasa rakyat selain memastikan kredibiliti maklumat sentiasa terpelihara.

Program Rancakkan MADANI berlangsung di Dataran Putrajaya selama tiga hari bermula semalam itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU).

Ia merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI (PSBKM) dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM), yang telah menjadi tradisi pelaporan tahunan Kerajaan MADANI secara terus kepada rakyat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan