SHAH ALAM, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) melancarkan Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2025/2026 sebagai platform memperkasakan kepimpinan wanita dalam proses pembuatan dasar dan keputusan di peringkat negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif WBS Siti Faridah Abdul Samad berkata inisiatif itu bertujuan mewujudkan ekosistem dasar wanita yang lebih responsif, bersasar dan inklusif dengan membawa suara akar umbi ke dalam wacana dasar secara lebih tersusun dan sensitif gender.
Beliau berkata sebanyak 56 peserta daripada kohort satu hingga tiga menyertai SIWANIS 2025/2026, sekali gus membuktikan kesinambungan dan kekuatan program itu sebagai platform pembangunan pemimpin wanita.
“Program ini melatih pemimpin wanita memahami isu, dasar dan prinsip tadbir urus yang baik ke arah kesaksamaan gender, selain membina kapasiti kepimpinan dengan sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus perwakilan wanita sebagai pembuat keputusan pada masa hadapan.
“Program ini juga mampu meningkatkan keupayaan, jaringan dan kolaborasi kepimpinan wanita di negeri Selangor serta memberikan ruang latihan simulasi sebagai wakil rakyat bagi memantapkan kefahaman peserta tentang peranan dan tanggungjawab seorang Ahli Dewan Negeri (ADN),” katanya semasa Majlis Pelancaran SIWANIS 2025/2026 di sini semalam.
Hadir sama Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng San dan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari.
Siti Faridah berkata WBS turut menerima sumbangan dana daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Program Perantisan Kepimpinan Wanita 2025 (PERANTIS 2025), yang disifatkan sebagai pengiktirafan penting terhadap usaha pembangunan kepimpinan wanita.
Beliau berkata sumbangan julung kali itu juga memperkukuh keupayaan WBS dalam membuka ruang melahirkan lebih ramai pelapis wanita berkemahiran tinggi, yakin dan bersedia menyumbang dalam pembuatan dasar negeri pada masa hadapan.
Sementara itu, Anfaal berkata SIWANIS bukan sekadar program latihan tetapi inisiatif strategik membina barisan pemimpin wanita Selangor yang berani membawa visi besar serta tidak gentar menyertai ruang politik.
“Saya menyeru peserta SIWANIS menjadikan penyertaan mereka dalam program ini sebagai langkah pertama ke arah penyertaan politik yang lebih aktif demi memperkukuh dasar sosial negeri,” katanya.
-- BERNAMA
